
PETALING JAYA: PAS menyeru rakyat Malaysia mengekalkan semangat saling menghormati, persefahaman dan kesederhanaan dalam perutusannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata musim perayaan itu harus menjadi peringatan tentang pentingnya untuk menegakkan keadilan dan bekerjasama dalam membina Malaysia yang makmur dan harmoni.
Memetik kata-kata ahli falsafah China Confucius, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata keharmonian dalam masyarakat pelbagai latar belakang berdiri atas sikap saling-menghormati dan memahami.
“PAS mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan harapan semoga tahun ini diisi dengan keamanan, kemakmuran, kesihatan serta harapan baik untuk setiap keluarga dan individu.
“Apabila kita menjunjung ketertiban, kesopanan dan keadilan, maka kita juga turut memperkukuh asas perpaduan dan keharmonian sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memetik nasihat seorang lagi ahli falsafah China, Lao Tzu, yang memberi amaran tentang sikap berlebih-lebihan dan melampau sebagai racun yang membawa kerosakan dan kemusnahan.
“Sempena sambutan Tahun Baharu kali ini, marilah kita memperbaharui tekad dan iltizam untuk memilih jalan kesederhanaan, kesabaran, kejujuran dan kebijaksanaan bagi membina masa depan bersama yang sihat dan bermakna.
“Semoga Malaysia terus maju dalam keharmonian dan kesederhanaan,” katanya.
