
PETALING JAYA: Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil kesempatan terhadap permasalahan atau krisis yang dihadapi parti lain, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan.
Ahmad berkata sebaliknya Umno dan BN akan terus diperkukuh dengan kekuatan sendiri, bukannya atas kelemahan parti lawan, lapor Bernama.
“Kita tidak mahu mengambil kesempatan daripada kemelut parti lain. Biarlah Umno dan BN ini kuat atas kekuatan sendiri, bukan disebabkan apa yang berlaku kepada parti lawan,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Pontian.
Ketika diminta mengulas laporan beberapa pemimpin Bersatu, termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin yang didakwa akan menyertai Umno, Ahmad berkata perkara itu akan diputuskan MKT.
Beliau berkata semua pihak perlu berjiwa besar dalam menangani isu berkenaan dan sebarang permohonan menyertai parti itu akan diputuskan MKT.
“Kebiasaannya MKT yang akan memutuskan sekiranya ada permohonan untuk menyertai Umno,” katanya.
Katanya, MKT akan buat keputusan mengenai perkara itu berdasarkan tiga prinsip utama iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung.
Spekulasi, Hamzah kembali ke pangkuan Umno timbul selepas Ahli Parlimen Larut itu dipecat bersama 16 lagi pemimpin Bersatu termasuk empat Ahli Parlimen dan Adun pada Jumaat lalu.
