
PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat menembak pintu kaca sebuah bank di Jalan Lanang di Sibu, Sarawak.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah, lapor Bernama.
Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemukan satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden terbabit.
“IPD Sibu mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki berkaitan kejadian itu.
“Menurut keterangan saksi, terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya melepaskan satu das tembakan dipercayai jenis pistol sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Zulkipli turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
