
PETALING JAYA: Noh Omar melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa terhadap Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan MPT.
Jelasnya, mesyuarat MPT pada 12 Jan lalu memutuskan semua tindakan disiplin terhadap ahli Bersatu ditangguhkan, tetapi Lembaga Disiplin tetap meneruskan proses disiplin terhadap beberapa ahli dan pemimpinnya.
“Persoalannya, adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan MPT? Yang mana lebih berkuasa, Lembaga Disiplin atau MPT?
“Apa guna MPT sebagai badan tertinggi bermesyuarat jika keputusan tidak dihormati?” soalnya dalam satu video kepada FMT.
Noh mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai ahli MPT, tetapi menegaskan tiada maknanya memegang jawatan itu jika keputusan MPT tidak dihormati.
Noh dilantik menganggotai MPT Bersatu pada 18 Jan 2025.
Peletakan jawatan Noh menyusul pemecatan Hamzah Zainudin, yang juga timbalan presiden dan ketua pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan Bersatu.
Dalam pada itu, Noh berkata, MPT menubuhkan Jawatankuasa Pengukuhan Parti dipengerusikan Rais Yatim, yang turut dianggotainya.
Katanya, jawatankuasa itu bermesyuarat tiga kali bagi merangka pelan mengembalikan perpaduan dalam parti, namun usaha itu terjejas dengan tindakan disiplin terhadap ahli.
Tegasnya, tindakan disiplin sepatutnya hanya dikenakan terhadap ahli melanggar keputusan MPT selepas 12 Jan lalu, bukannya kenyataan yang dibuat sebelum tarikh itu.
“Saya berpegang kepada prinsip tiada siapa berada di atas undang-undang. Semua parti ada hak ambil tindakan disiplin, tetapi mesti ikut peraturan dan perlembagaan parti.”
