
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee menggesa Muhyiddin Yassin supaya mencontohi tindakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berundur pada 2020, melepaskan jawatan presiden parti selepas didakwa hilang sokongan majoriti.
Menurut Kiandee, beliau salah seorang daripada lima Ahli Parlimen Bersatu yang memujuk Mahathir untuk meletak jawatan, selain Hamzah Zainudin, Muhyiddin, Azmin Ali serta bekas ahli Bersatu Mustapa Mohamed.
“Saya beritahu Mahathir, jadi kewajipan beliau untuk beri laluan kepada Muhyiddin jadi perdana menteri jika beliau benar-benar berjuang untuk negara dan Bumiputera,” katanya.
Susulan itu, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri bagi memberi laluan kepada Muhyiddin untuk menggantikannya, tindakan yang disifatkan Kiandee sebagai contoh kepimpinan yang berlandaskan realiti politik.
“Itulah yang dilakukan oleh seorang pemimpin yang sudah sedia maklum di mana terletak sokongan terhadapnya,” tambahnya.
Beliau mendedahkan peristiwa pada Februari 2020 itu ketika himpunan ‘Reset’ awal hari ini, yang dihadiri kira-kira 500 ahli Bersatu yang menyokong Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu yang dipecat daripada parti pada Jumaat bersama 19 individu lain.
“Namun apa yang berlaku pada 2020 tak sama dengan apa yang terjadi semalam, apabila Muhyiddin pecat timbalannya,” tegas Kiandee yang menyelar tindakan Muhyiddin memecat Hamzah, walaupun pemimpin itu mendapat sokongan 118 daripada 168 ketua bahagian serta 18 Ahli Parlimen Bersatu.
Bersatu diasaskan oleh Mahathir dan Muhyiddin pada 2016 sebelum menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), yang kemudiannya mengambil alih tampuk pemerintahan selepas memenangi PRU pada 2018.
Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2020 sekaligus menyebabkan kerajaan PH tumbang, manakala Muhyiddin bertindak membawa Bersatu menjalin kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan sokongan Ahli Parlimen Umno.
