Daripada tokoh setia Umno ke pemimpin nombor 2 Bersatu, Hamzah kini dipecat

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainudin, yang dipecat oleh Bersatu semalam, pernah menjadi tokoh setia Umno sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada 2016, seterusnya diangkat menjadi timbalan presiden parti dan ketua pembangkang Parlimen.

PETALING JAYA: Kedudukan Ahli Parlimen empat penggal Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang kini tidak menentu susulan pemecatannya daripada Bersatu, di tengah pertelingkahan sengit dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Tokoh berpengalaman dalam politik Malaysia itu yang juga bekas pemimpin Umno, pernah disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi Perikatan Nasional (PN) dan dikatakan oleh Khairy Jamaluddin sebagai pengendali politik yang mampu menyelesaikan pelbagai isu.

Bekas timbalan presiden Bersatu itu dipecat semalam susulan desakan agar Muhyiddin menyerahkan jawatan tertinggi parti kepadanya, namun beliau masih mempunyai pilihan untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

FMT menelusuri semula peristiwa yang membawa kepada penyingkiran Hamzah.

Daripada tonggak Umno kepada arkitek Langkah Sheraton

Hamzah membina kerjaya politiknya dalam Umno, menjadi senator dari 2000 hingga 2006 sebelum memenangi kerusi Parlimen Larut untuk Barisan Nasional (BN) pada 2008.

Dilihat sebagai pengendali yang boleh diharap berbanding tokoh nasional utama, beliau memegang beberapa jawatan timbalan menteri penting dari 2008 hingga 2015 di bawah pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, sebelum dilantik sebagai menteri penuh oleh Najib.

Hamzah mula naik selepas PRU 2018 apabila Umno hilang kuasa persekutuan buat kali pertama.

Beliau antara enam Ahli Parlimen yang keluar Umno pada Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap presiden parti Zahid Hamidi, sebelum menyertai Bersatu dua bulan kemudian.

Beliau kemudian memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, dengan mengadakan rundingan dengan PAS dan Umno sebelum berlakunya Langkah Sheraton.

Ini meletakkan beliau sebagai sekutu rapat Muhyiddin apabila presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, dengan Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri dan dilihat sebagai antara orang paling dipercayai Muhyiddin.

Ketua pembangkang, orang No 2 Bersatu

Selepas kegagalan PN membentuk kerajaan pasca PRU 2022, Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang Parlimen, keputusan yang mengejutkan ramai kerana Muhyiddin masih pengerusi PN dan presiden Bersatu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dikatakan menyokong pelantikan Hamzah ke jawatan itu ketika beliau masih setiausaha agung Bersatu.

Apabila Hamzah semakin menonjol di peringkat nasional sebagai ketua pembangkang, tekanan meningkat terhadap Muhyiddin untuk melepaskan jawatan presiden Bersatu, yang dilakukannya pada November 2023.

Namun ia tidak bertahan lama apabila Muhyiddin menarik balik peletakan jawatannya keesokan hari, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem yang tidak sehaluan dengannya.

Jurang antara Muhyiddin dan Hamzah terus melebar. Pada 2024, bekas perdana menteri itu juga berdepan desakan pemimpin PAS supaya jawatan pengerusi PN diserahkan kepada parti itu.

Secara luaran, hubungan mereka kelihatan baik. Pada akhir 2024, Muhyiddin merundingkan formula bagi membolehkan Hamzah dipilih tanpa bertanding sebagai timbalan presiden Bersatu.

Ia dilihat sebagai langkah ke arah pelan peralihan kepimpinan, malah Hamzah mendakwa pada November lalu bahawa Muhyiddin berhasrat menyerahkan jawatan presiden parti kepadanya selepas ini.

‘Bersatu bertelagah’

Ketegangan memuncak tahun lalu apabila konflik dalaman tidak lagi disembunyikan. Dalam perhimpunan agung Bersatu 2025, Muhyiddin mendedahkan wujud usaha mengumpul akuan bersumpah untuk menyingkirkannya.

Surat layang kemudian tersebar menuduh Hamzah mereka cerita bahawa Muhyiddin berjanji menyerahkan kepimpinan kepadanya, serta mendakwa beliau cuba melemahkan presiden parti.

Hamzah cuba meredakan keadaan dengan menggelarkan dirinya ‘penyokong nombor satu’ Muhyiddin di hadapan perwakilan, namun ketegangan tetap berterusan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat pada Oktober 2025 manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung berhubung akuan bersumpah untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Desakan agar Muhyiddin berundur terus meningkat, termasuk daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, sementara penganalisis menyamakan situasi itu sebagai perang terbuka dalam Bersatu. Saifuddin dipecat bulan lalu.

Penyingkiran pemimpin

Selepas melepaskan jawatan pengerusi PN pada 1 Jan dan mencetuskan pertikaian berasingan dengan PAS, Muhyiddin berdepan tekanan supaya memberi laluan kepada Hamzah mengambil alih jawatan presiden Bersatu.

Namun Hamzah juga didesak berundur, dengan beberapa memorandum diserahkan kepada Muhyiddin menuduh timbalannya cuba melemahkan beliau dan merancang merampas jawatan tertinggi parti.

Akhirnya, Hamzah dipanggil oleh Lembaga Disiplin Bersatu pada 6 Feb berhubung dakwaan cuba mensabotaj perhimpunan agung 2025 dan menjejaskan kepimpinan parti.

Seminggu kemudian, beliau dipecat bersama 16 pemimpin lain, termasuk tiga ahli Parlimen, dua Adun dan 10 ketua bahagian, atas pelanggaran perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan.

Beberapa jam selepas berita pemecatannya tersebar, Hamzah kelihatan tenang apabila memuat naik gambar minum teh bersama pemimpin PAS seperti Abdul Hadi, Timbalan Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Hamzah juga dijangka mengadakan sidang media pada 2.30 petang ini bersama penyokongnya, namun Bersatu memberi amaran kepada ahli supaya tidak menyertai perhimpunan anjuran mereka yang dipecat.

Dengan jawatan pengerusi PN masih dipertikaikan antara Muhyiddin dan PAS, serta penyokong Hamzah dalam Bersatu dijangka turut dikenakan tindakan disiplin, pemerhati akan menilai langkah seterusnya dalam perjalanan politik beliau.

Author: admin