
PETALING JAYA: Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur mengekalkan pemecatan seorang pengurus sebuah anak syarikat Telekom Malaysia bhd tiga tahun lalu kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk memanfaatkan seorang pegawai tentera udara selain untuk kepentingan sendiri.
Pengurus berkenaan yang bertanggungjawab terhadap bahagian penerbangan dan maritim TM Technology Services Sdn Bhd pada masa itu, dipecat selepas lembaga disiplin syarikat mendapatinya bersalah salah guna kuasa untuk manfaatkan diri sendiri serta seorang pegawai Tentera Udara (TUDM) berpangkat mejar.
Pengerusi Mahkamah D Paramalingam berkata syarikat itu berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa pihak menuntut bersalah atas semua enam dakwaaan dinyatakan dalam surat tunjuk sebab terhadapnya.
“Kesalahan dilakukan serius dan menyebabkan kejujuran serta integriti pihak menuntut dipertikai. Jawatannya sebagai pengurus bahagian adalah jawatan kanan dalam syarikat, dan dia gagal dalam tugas fidusiarinya,” kata Paramalingam dalam award yang diberikan minggu lalu.
Pengerusi mahkamah itu berkata, pihak menuntut melakukan fraud apabila menyalahgunakan dana syarikat dan berkolaborasi dengan pegawai tentera berkenaan, yang isterinya memiliki firma yang telah diberikan kontrak.
Katanya keputusan syarikat memecat pengurus berkenaan setara dengan kesalahan dilakukan.
Dia didapati bersalah kerana salah laku termasuk memohon tiket tahunan Legoland dan baucar terbuka daripada Fraser Place Puteri Harbour di Johor, termasuk penginapan empat hari tiga malam bilik deluxe untuk pegawai TUDM berkenaan, dan mengarahkan hotel itu menyembunyikan kos daripada sebut harganya.
Dia kemudian didapati bersalah menyimpan tiket untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak bagi memanfaatkan diri sendiri yang melanggar Kod Etika Perniagaan TM.
Selain itu, pihak menuntut didapati bersalah memanipulasi proses bidaan dengan meminta sebuah firma menyerahkan tiga sebut harga yang memberikan syarikat itu kelebihan yang tidak adil ketika membida kontrak yang akhirnya diberi kepada syarikat berkenaan.
Dia turut memberikan kontrak untuk membekalkan 100 cawan cenderahati kepada firma yang dimiliki isteri pegawai TUDM berkenaan tanpa mengisytiharkan konflik kepentingan.
Pihak menuntut diwakili Nur Zurain Mat Ramlee manakala syarikat diwakili Subramaniam Anjan dan Ainnur Anissa Abdul Razak.
