Kumpulan antara agama mohon PM perjelas arahan tentang rumah ibadat

anwar ibrahim
Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, majlis perbandaran telah diberi kuasa ‘bersih’ lokasi rumah-rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan.

PETALING JAYA: Satu kumpulan antara agama memohon penjelasan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung arahannya supaya majlis perbandaran mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didirikan tanpa mengikut undang-undang sedia ada.

Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berpendapat, arahan itu terlalu menyeluruh jika diguna pakai terhadap semua rumah ibadat yang tidak memiliki tanah atau tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Kumpulan itu menegaskan, banyak kuil dan rumah ibadat lain didirikan di estet getah serta kawasan perlombongan dalam zaman penjajah, ketika majlis perbandaran dan kanun tanah belum wujud.

MCCBCHST mengingatkan bahawa pada 2008, kerajaan Selangor mengeluarkan garis panduan yang membenarkan rumah ibadat berusia lebih 100 tahun kekal di lokasi sedia ada.

Garis panduan itu turut membenarkan rumah ibadat yang dibina sebelum 2008 kekal sehingga ia dapat dipindahkan ke tapak ganti yang sesuai.

“Kami menyeru agar perdana menteri menjelaskan kenyataan beliau dan menyatakan dengan jelas sama ada ia turut melibatkan rumah ibadat yang wujud sebelum merdeka,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu turut mempersoalkan sama ada dasar tidak meroboh rumah ibadat sehingga tapak ganti yang sesuai disediakan masih berkuat kuasa atau tidak.

Sehingga faktor-faktor ini diperjelas, kumpulan itu menggesa agar pelaksanaan arahan perdana menteri itu ditangguhkan.

“Tindakan melabel rumah-rumah ibadat yang telah bertapak selama berdekad-dekad dan, dalam beberapa kes, lebih seabad lalu, sebagai ‘haram’ dan melanggar undang-undang sedia ada diambil sewenang-wenangnya dan bersifat tidak adil.

“Apatah lagi apabila rumah-rumah ibadat ini didirikan dengan persetujuan tersirat pihak berkuasa British ketika itu, justeru kewujudannya diketahui mereka,” katanya.

Pada Isnin, Anwar berkata, majlis perbandaran telah diberi kuasa ‘membersihkan’ lokasi rumah-rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan.

Beliau berkata, Putrajaya tidak lagi membenarkan sebarang pembinaan rumah ibadat yang gagal mematuhi syarat peraturan.

Author: admin