
KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan akan mengadakan rundingan bersama kerajaan Sarawak tahun ini bagi melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ia bagi merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan negeri Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan kerajaan persekutuan selaras peruntukan Perkara 112D.
Mengenai pemberian khas kepada kerajaan Sabah, kerajaan persekutuan bagaimanapun meneruskan proses rundingan bersama kerajaan negeri berkenaan pada 17 Nov 2025 dan 28 Jan 2026 bagi melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ia mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan kerajaan persekutuan,” kata MOF melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai status terkini pemuktamadan formula pemberian khas baharu kepada Sabah dan Sarawak selaras Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan komited untuk memuktamadkan rundingan dalam garis masa ditetapkan.
Ia termasuk garis masa pelaksanaan serta komitmen kerajaan persekutuan terhadap prinsip keadilan fiskal sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
