
KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan pembinaan 91.7% setakat Januari lepas dengan tumpuan kini beralih kepada persiapan operasi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Beliau berkata dengan ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia, ia sekali gus menandakan projek infrastruktur nasional bernilai RM50.27 bilion itu telah memasuki fasa yang lebih penting.
“Dengan penerimaan EMU dan E-Loco ini maka kita memulakan fasa penting iaitu ujian dan pertauliahan (tren) yang mana ini selari dengan perancangan keseluruhan projek dan kita jangkakan jadual ECRL dapat beroperasi pada Januari tahun depan dapat dicapai.
“Sudah tentu baki beberapa bulan ini akan digunakan sepenuhnya untuk segala ujian dan sebagainya, saya harap keseluruhan projek ini berjalan lancar,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Loke merasmikan Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU & E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen KotaSAS.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Razali Kassim.
Projek ECRL sepanjang 665km telah memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 E-Loco untuk tujuan kargo dan setakat ini, dua set tren EMU dan dua E-Loco telah tiba di Malaysia pada penghujung 2025, dan dirasmikan hari ini.
Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 km/j dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi kontigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.
Reka bentuk luaran dan dalaman tren itu diilhamkan daripada seni serta kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk selain kemudahan OKU bagi memastikan keselesaan semua penumpang.
Loke turut memaklumkan baki tren dijadual tiba dalam beberapa bulan akan datang secara berperingkat dan akan diuji sebelum beroperasi.
