
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru agar Umno dan PAS membentuk pakatan bagi PRN Melaka, dengan menyatakan bahawa perpecahan politik Melayu telah melemahkan pengaruh mereka walaupun di kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu.
Adun Merlimau itu berkata, pilihan raya Melaka sepatutnya menjadi kes ujian bagi kerjasama politik antara dua parti Melayu-Muslim terbesar itu, menyebut bahawa Pemuda Umno telah secara konsisten memperjuangkan perpaduan sejak awal lagi.
“Saya lebih suka Umno-PAS, walaupun PAS tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka lalu,” katanya dalam episod terkini audio siar Keluar Sekejap.
“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap. Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun Umno perlu beri laluan kepada PAS (di beberapa kerusi).”
Hos Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin, sebelum itu bertanya kepada Akmal sama ada beliau lebih suka Umno bertanding solo atau berganding bahu dengan parti politik lain pada PRN akan datang.
Akmal berkata pengundi teras Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar dan separa bandar, bimbang tentang perpecahan dalam komuniti itu kerana kehadiran pelbagai parti Melayu.
Beliau berkata Umno hanya boleh memulihkan kekuatannya dengan menjalin semula hubungan dengan pengundi teras Melayu-Bumiputeranya, sambil menyebut bahawa undi yang hilang daripada Umno bukan pergi kepada Pakatan Harapan, sebaliknya kepada PAS dan PN.
Menjawab soalan Khairy sama ada orang Melayu berasa terancam, Akmal berkata, sentimen sedemikian lebih ketara di luar pusat bandar.
“Mungkin orang di Kuala Lumpur tak rasa. Anda boleh datang ke Melaka dan lihat sendiri, pergi ke kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata, seruan ke arah perpaduan ‘bukanlah tentang merampas hak orang lain’, tetapi tentang memastikan orang Melayu ‘rasa selamat dan bersatu’.
Akmal turut menyangkal kebimbangan bahawa pakatan Umno-PAS akan mengetepikan golongan bukan Melayu, dengan berkata rangka kerja Barisan Nasional (BN) yang lebih luas akan kekal utuh.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, manakala PH menang lima dan PN (Bersatu) dua.
Bagaimanapun, Adun Rembia Umno Jailani Khamis berpindah ke blok pembangkang selepas dilaporkan menyertai PAS pada 2023.
Penggal lima tahun DUN Melaka akan berakhir pada Disember ini.
