
PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee digesa meletakkan jawatan susulan kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah yang didakwa menjadi antara punca utama prestasi buruk parti itu pada PRN lalu.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, turut mempersoalkan peranan Kiandee sebagai naib presiden Bersatu yang didakwa gagal menghalang pemimpin Sabah serta penyokong Timbalan Presiden Hamzah Zainudin daripada terus melanggar perlembagaan dan keputusan parti.
“Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kegagalan beliau menjalankan amanah sebagai naib presiden parti. Oleh itu, Kiandee wajar melepaskan jawatannya atas kegagalan berfungsi dengan berkesan selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kiandee menggesa Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden parti sekali gus menjadi pemimpin kanan pertama yang secara terbuka meminta Ahli Parlimen Pagoh itu melepaskan jawatan tertinggi Bersatu.
Kiandee yang juga ketua Bersatu Sabah mendakwa, Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Bekas menteri itu turut menyifatkan tindakan lembaga disiplin terhadap Hamzah dan beberapa pemimpin yang menyokong beliau sebagai penyalahgunaan prosedur parti secara terdesak bagi membungkam suara yang berbeza pendapat.
Sementara itu, Tun Faisal berkata kenyataan Kiandee yang mempertikaikan tindakan lembaga disiplin parti menunjukkan sikap terdesak selepas beberapa pemimpin dikenakan tindakan kerana melanggar perlembagaan serta kod etika parti.
“Dakwaan tindakan lembaga disiplin merupakan penyalahgunaan prosedur bagi membungkam suara pimpinan utama parti adalah tidak benar sama sekali.
“Sebaliknya, ramai berpendapat tindakan lembaga disiplin sepatutnya telah lama diambil terhadap individu yang berterusan dan berulang kali melanggar perlembagaan, menentang keputusan parti, serta mencabar kewibawaan institusi parti seolah-olah perlembagaan dan lembaga disiplin tidak wujud,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, berkata desakan supaya Muhyiddin berundur bukan berpunca daripada kegagalannya menguruskan krisis dalaman parti, sebaliknya kerana beliau kini mula mengambil tindakan tegas menangani masalah tersebut.
Rafiq berkata, sebelum ini Muhyiddin mengambil pendekatan berdiam diri walaupun berdepan serangan beberapa pihak dalam parti, namun keadaan berubah apabila beliau membenarkan lembaga disiplin meneruskan siasatan terhadap aduan diterima.
“Selama ini Muhyiddin diam, tak kata apa, biarkan mereka menyerang tapi bila Muhyiddin mula buat gerakan, kalau lembaga disiplin ada aduan boleh teruskan dan kumpulan itu melihat sudah hampir pasti Hamzah akan dipanggil Khamis ini, maknanya dah nak ‘checkmate’.
“Jadi, mula keluar kenyataan daripada pasukan Hamzah, dia dah tak ada pilihan lain, jadi keluarlah kenyataan Muhyiddin gagal uruskan parti. Saya bukan rasa Muhyiddin gagal uruskan parti, saya rasa Muhyiddin secara serius mula menguruskan parti,” katanya kepada FMT.
Dalam nada sinis, Rafiq turut mencadangkan mana-mana pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu.
“Kalau Kiandee rasa tak sesuai uruskan parti, Kiandee kena letak jawatan tapi secara perlembagaannya, Muhyiddin tetap presiden. Mungkin Kiandee boleh minta Hamzah buka parti baru dan dia boleh jadi ahli parti baru Hamzah,” katanya.
