Kedudukan lebih baik CPI bukti kerajaan tegas perangi rasuah, kata PM

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, usaha kerajaan Madani perangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara terbukti dengan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga 54 dalam CPI dunia antara lain didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam.

“Ini termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sambil menzahirkan rasa syukur atas peningkatan CPI itu, Anwar berkata, kerajaan Madani juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.

Perdana menteri berkata, tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Pencapaian ini juga adalah peringatan untuk kita menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan,” kata Anwar.

Berdasarkan laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, kedudukan Malaysia bertambah baik daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas.

Menurut laporan itu, Malaysia di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asean, selepas Singapura dan Brunei, malah skor negara bagi tahun lepas meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.

Author: admin