
KUALA LUMPUR: Borneo Oil Bhd menerima kelulusan kawal selia daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk menjalankan operasi pembangunan lombong, perlombongan dan operasi pemprosesan emas di kawasan lombong emas berlesen di Bukit Ibam, Pahang.
Kumpulan yang berpangkalan di Labuan itu berkata kelulusan berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Borneo Oil Corporation Sdn Bhd (BOC) di bawah Skim Pengendalian Melombong (OMS) yang diluluskan, membolehkan syarikat menjalankan aktiviti perlombongan dan pemprosesan emas menggunakan kaedah karbon dalam larutan (CIL).
“Kelulusan ini merupakan satu pencapaian penting dalam kawal selia, yang membolehkan Borneo Oil melalui BOC, bergerak ke arah pengeluaran emas berskala komersial di salah satu jalur emas yang diiktiraf secara sejarah di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelulusan OMS merangkumi pajakan melombong seluas 187 hektar dalam kawasan hak melombong seluas 1,200 hektar yang terletak di hutan rizab Bukit Ibam, Rompin dan sah sehingga 21 Dis 2027, dengan pilihan boleh diperbaharui.
Kelulusan itu juga membolehkan pembinaan loji pemprosesan CIL berskala penuh untuk menyokong pengembangan operasi perlombongan emas.
Borneo Oil berkata berdasarkan anggaran, projek emas Bukit Ibam dianggarkan mengandungi 60,814 auns emas, dengan sumber tambahan seterusnya dikenal pasti di beberapa zon selepas aktiviti penerokaan, penggerudian dan penilaian teknikal dijalankan dalam beberapa fasa.
Sebagai persediaan untuk operasi penuh, syarikat sebelum ini telah menyiapkan loji CIL perintis. Kini, ia meneruskan pembangunan bagi kemudahan pemprosesan berskala penuh, termasuk senarai pendek kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi kerja-kerja pembinaan dan pentauliahan.
Borneo Oil berkata kelulusan kawal selia itu mengukuhkan kedudukannya dalam sektor perlombongan emas dan menyokong strateginya untuk membangunkan perniagaan perlombongan huluan dan pemprosesan mineral yang mampan di Malaysia.
“Dengan kelulusan kawal selia yang sedia ada dan infrastruktur pemprosesan yang sedang berjalan, Bukit Ibam bersedia untuk menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan jangka panjang Borneo Oil,” tambahnya.
