
PETALING JAYA: Pengawasan dalaman tidak lagi mencukupi untuk membendung salah laku dalam kalangan penguat kuasa sebaliknya reformasi segera perlu dilaksanakan susulan laporan 80% kes melibatkan kumpulan itu berakhir tanpa tindakan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata reformasi antaranya perlu merangkumi ketelusan dalam keputusan tatatertib, pemerkasaan badan pengawasan bebas serta perlindungan menyeluruh kepada pengadu dan pemberi maklumat.
Katanya, ia turut melibatkan kebertanggungjawaban kepimpinan agensi, dengan ketuanya mesti dipertanggungjawabkan apabila kegagalan mengambil tindakan menjadi satu pola dan tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil.
“Negara tidak akan berjaya memerangi rasuah jika penguat kuasa sendiri gagal diawasi dan dipertanggungjawabkan. Tiada siapa boleh berada di atas undang-undang termasuk mereka yang diberi kuasa untuk menguatkuasakannya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan media hampir 80% aduan salah laku anggota penguat kuasa termasuk berkaitan isu integriti tidak diambil tindakan walaupun dirujuk kepada unit tatatertib jabatan terlibat.
Jumlah itu merangkumi 62 daripada 75 kes dirujuk oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada jabatan berkaitan dengan mengemukakan syor tindakan tatatertib terhadap penjawat awam terlibat.
Mengulas lanjut, Jais menyifatkan pendedahan itu sebagai satu kegagalan tadbir urus yang serius dan membahayakan negara sekali gus merosakkan kepercayaan awam.
“Apabila majoriti aduan terhadap penguat kuasa tidak membawa kepada sebarang tindakan, mesej yang sampai kepada masyarakat ialah kuasa kebal daripada hukuman.
“Ini merosakkan kepercayaan awam, melemahkan moral pegawai yang berintegriti, dan membuka ruang lebih luas kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa serta salah laku berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Jais menegaskan isu berkenaan bukan berpunca daripada ketiadaan undang-undang sebaliknya kegagalan pelaksanaan dan keberanian institusi penguat kuasa sendiri.
“Negara sudah mempunyai suruhanjaya, jawatankuasa tatatertib, peraturan dalaman dan akta berkaitan. Namun, apabila aduan dihentikan di peringkat siasatan awal, diklasifikasikan tanpa penjelasan munasabah, atau disenyapkan atas alasan teknikal, maka sistem itu sendiri telah dikhianati,” katanya.
Jais berkata, kegagalan mengambil tindakan terhadap penguat kuasa bermasalah akan menggalakkan budaya impuniti, menjadikan integriti sekadar slogan kosong dan meletakkan rakyat sebagai mangsa berganda iaitu dianiaya dan kemudian dinafikan keadilan.
