
KUALA BERANG: Polis menyelamatkan tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas menyerbu sebuah tapak pembinaan di Hulu Terengganu, semalam.
Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dipercayai majikan kepada tiga warga Bangladesh yang berusia 29 hingga 44 tahun itu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa bekerja sebagai buruh binaan dengan waktu tidak menentu serta tidak dibayar gaji selama lima bulan.
“Akibatnya mangsa terpaksa mendapatkan sumber makanan dengan menangkap ikan dan memungut hasil hutan di sekitar kawasan Tasik Kenyir,” kata Ketua Polis Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab, dalam kenyataan.
Siasatan juga mendapati suspek gagal menyediakan tempat tinggal yang kondusif selain turut menyimpan pasport serta permit kerja mangsa.
Serbuan Ops Pintas itu dilakukan pasukan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu dengan kerjasama IPD Hulu Terengganu.
Mangsa akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan selepas proses permohonan perintah perlindungan interim selesai.
Kes disiasat bawah Seksyen 44 dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.
