Pelukis saman AirAsia guna mural ikonik di P Pinang tanpa kebenaran

Pelukis jalanan dari Lithuania, Ernest Zacharevic bersama peguamnya ketika bertemu wartawan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Pelukis jalanan dari Lithuania, Ernest Zacharevic, memfailkan saman terhadap AirAsia di Mahkamah Tinggi atas pelanggaran hak cipta, dengan mendakwa karya seninya digunakan tanpa kebenaran oleh syarikat itu.

Beliau berkata pada sekitar Oktober 2024, beliau menyedari karya seninya yang dikenali sebagai, ‘Children on a Bicycle’, telah dipaparkan pada sebuah pesawat AirAsia.

Karya itu merupakan salah satu mural Zacharevic di Georgetown, Pulau Pinang, yang menurutnya dilukis pada 2012. Mural ikonik tersebut dicat semula pada 2024.

Zacharevic mendakwa ini bukan kali pertama AirAsia menggunakan karyanya tanpa kebenaran. Beliau mendakwa syarikat itu pernah menggunakan beberapa karya seninya yang lain sebagai bahan promosi sebelum ini.

Lituanian street artist Ernest Zacharevic
Ernest Zacharevic bersama exco Pulau Pinang Wong Hon Wai, ketika mengecat semula mural ikonik itu pada 2024. (Gambar Kerajaan Negeri Pulau Pinang)

Beliau juga mendakwa sudah berhubung dengan syarikat penerbangan itu bagi mencapai penyelesaian secara baik pada penghujung 2024, namun tiada persetujuan dicapai.

Dalam samannya, beliau menuntut pengiktirafan haknya sebagai seorang artis, injunksi bagi menghalang AirAsia daripada terus menggunakan karya tersebut, dan ganti rugi.

Peguam Joachim Francis Xavier memberitahu wartawan bahawa saman itu difailkan hari ini.

“Karya ‘Children on a Bicycle’ telah dikeluarkan oleh AirAsia selepas plaintif (Zacharevic) menghubungi mereka,” katanya.

Sementara itu, Zacharevic memberitahu ‘Children on a Bicycle’ merupakan satu ciptaan seni yang tersendiri, dan bukannya ditiru.

“Saya serahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya,” katanya.

Author: admin