Kes cabul penumpang: Kertas siasatan ke Bukit Aman dalam masa terdekat

Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya terima laporan daripada mangsa pada 4 Feb lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kertas siasatan kes pemandu e-panggilan didakwa mencabul penumpangnya akan dirujuk ke Bukit Aman dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pemandu yang direman minggu lepas bagi membantu siasatan kes cabul kehormatan wanita warga Vietnam itu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

“Suspek seorang penjawat awam dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya, lapor Bernama.

Sebelum ini, Ab Rahaman dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada 4 Feb lepas, selain merampas dua telefon bimbit serta sebuah Perodua Bezza.

Ab Rahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 4 Feb lepas berhubung kejadian cabul di dalam kenderaan suspek.

Rakaman video berkaitan kejadian turut dikesan tular menerusi media sosial sejak 2 Feb.

Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PS) pemandu yang terlibat dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang.

Author: admin