Pemuda Umno tawar khidmat peguam untuk individu akan didakwa

Muhamad Akmal Saleh
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kata hak rakyat untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menawarkan khidmat peguam untuk individu yang akan didakwa berkait himpunan membantah rumah ibadat ‘haram’.

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata hak rakyat untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan.

“Pemuda Umno ingin menawarkan perkhidmatan peguam Pemuda Umno secara percuma bagi mereka yang akan didakwa atas himpunan ini,” katanya, lapor Berita Harian.

Terdahulu, polis memperoleh perintah reman selama dua hari terhadap penceramah, Zamri Vinoth, dan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, berhubung himpunan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata siasatan dibuka bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Perhimpunan yang dirancang malam tadi di luar gedung membeli-belah Sogo itu gagal diadakan kerana tidak dibenarkan polis atas faktor keselamatan.

Kira-kira 19 orang, terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita, ditahan malam tadi, dengan 17 daripadanya dibebaskan selepas keterangan direkodkan, menurut polis.

Author: admin