
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mengawal penggunaan internet dan media sosial anak-anak bagi memastikan keselamatan di alam siber, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, usaha kerajaan memperluas capaian internet dengan kelajuan lebih tinggi dan harga lebih rendah perlu dilaksanakan seiring dengan langkah memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.
“Parents take control. Kita mahu ibu bapa tahu bagaimana untuk meletakkan sekatan keselamatan pada peranti supaya anak-anak tidak terlalu leka.
“Hadkan masa supaya mereka tidak terlalu lama menonton video atau bermain permainan dalam talian,” katanya pada sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026.
Fahmi turut mengingatkan ibu bapa sentiasa berwaspada dalam melindungi maklumat peribadi anak-anak.
“Ini kerana teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi disalahgunakan untuk memanipulasi gambar dan video,” katanya pada sidang media selepas itu.
Fahmi turut mengumumkan inisiatif untuk melantik 150 Wira Keselamatan Internet yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat berkaitan modus operandi penipuan terkini serta isu keselamatan digital.
“Ini untuk menyokong perluasan program keselamatan internet ke peringkat komuniti,” katanya.
Penganjuran HKI menjadi platform penting dalam menyatukan peranan kerajaan, industri dan keluarga bagi membina masyarakat digital yang berdaya tahan dan berpengetahuan.
Inisiatif itu juga menekankan kepentingan penggunaan internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab khususnya dalam melindungi kanak-kanak, remaja serta institusi keluarga.
