
GENEVA: Lebih 250 ahli akademik di Switzerland menandatangani surat terbuka menggesa kerajaan menamatkan perjanjian penyelidikan dua hala dengan Israel atas kebimbangan terhadap perang di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Swissinfo melaporkan bahawa rayuan itu telah dihantar kepada Sekretariat Negara bagi Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi (Seri). Dalam surat berkenaan, penandatangan menyifatkan perkongsian itu sebagai ‘bersubahat dalam jenayah dilakukan di Gaza’ dan menggesa penelitian lebih mendalam terhadap hubungan institusi.
Inisiatif itu diselaraskan oleh Kolektif untuk Kebebasan Akademik, Demokrasi dan Solidariti (Clads), kumpulan ditubuhkan pada 2024 oleh beberapa cendekiawan berpangkalan di Lausanne, termasuk ahli sains iklim Profesor Julia Steinberger, menurut laporan akhbar serantau 24 Heures dan Tribune de Genève.
Pempetisyen meminta pihak berkuasa menjalankan ‘penilaian terhadap projek-projek yang sedang berjalan’ di universiti Switzerland bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan dengan tentera Israel atau apa yang mereka sifatkan sebagai ‘dasar genosid’ Israel di bawah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Mereka turut menuntut penamatan perjanjian antara Yayasan Sains Kebangsaan Switzerland dan Yayasan Sains Israel.
Steinberger memberitahu akhbar berbahasa Perancis itu bahawa perkongsian berkenaan mempunyai akses terhad, ‘yang memberikan Israel status yang lebih istimewa dan oleh itu, lebih bermasalah’.
