
PETALING JAYA: Kerajaan mengetahui terdapat rumah ibadat dibina tidak mengikut syarat, namun menegaskan ia perlu ditangani secara bijaksana dan tatasusila.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata kerajaan sememangnya memberi perhatian terhadap isu itu dan sudah pun menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi semua.
“Kita mesti menangani perkara ini secara ‘bil-hikmah wabilhasanah’, ertinya mesti harus ada kebijaksanaan dan tatasusila.
“Biarpun kita tahu mereka tidak mematuhi syarat-syarat itu, tetapi ada kaedah-kaedah perundangan dan kebijaksanaan yang kita lakukan,” katanya menurut Berita Harian selepas menyampaikan bantuan Ramadan sempena program ‘Road To Ramadan’ di Masjid Kariah Pantai, Seremban.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Himpunan Anti-Rumah Anutan Haram (Garah), dijadual berlangsung di ibu negara malam ini.
Himpunan berkenaan dikatakan bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat dibina haram.
Dalam pada itu, Zahid yang juga presiden Umno, berkata sebarang penggunaan tanah milik syarikat, individu atau kerajaan negeri perlu mendapat kebenaran sewajarnya bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Katanya, beberapa garis panduan dikoordinasikan bersama menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri bagi memastikan semua pihak mematuhinya.
“Saya berharap jangan ada satu tindakan agresif yang akan menyebabkan masalah lain timbul. Kerajaan sangat prihatin terhadap isu itu dan ada kaedah yang harus diikuti oleh semua pihak,” katanya.
