
PETALING JAYA: Pada usia 13 tahun, Malik Yatam terpaksa meninggalkan alam persekolahan kerana keluarga tidak mampu membayar yuran.
Hampir tiga dekad kemudian, beliau dikenali sebagai Dr Malik Yatam, seorang bekas banduan yang menamatkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman.
Dilahirkan di Kampung Pinatau, Kota Marudu, Sabah, Malik berhenti sekolah pada 1999 akibat kekangan hidup keluarga di kawasan pedalaman yang serba kekurangan termasuk bekalan elektrik dan air.
“Arwah ayah saya kata dia tak mampu bayar yuran sekolah. Dia minta saya berhenti, tapi dia kata sekurang-kurangnya saya dah boleh membaca dan tahu jalan balik rumah,” katanya kepada FMT.
Malik akur namun hasrat menimba ilmu tidak pernah terpadam dan dia cuba bersekolah sesi petang sambil menoreh getah pada waktu pagi namun keletihan akhirnya menghambat tubuh.
“Ketika umur sekitar 13 tahun, tenaga kita mestilah terhad. Sampai sekolah pun dah mengantuk. Akhirnya saya terpaksa berhenti juga,” katanya.
Lalu Malik berhijrah ke Kota Kinabalu dan bekerja di sebuah restoran sebagai pembantu pembuat kek, dengan gaji RM150 sebulan, bekerja dari 7 pagi hingga 9 malam.
Ketika sedang bekerja, dia didatangi seorang individu yang menawarkan pekerjaan di Semenanjung dengan gaji RM800 sebulan, membuatkan jiwanya melonjak kerana boleh membantu keluarganya jika memperoleh bayaran itu.
Tanpa pengetahuan keluarga, Malik berangkat ke Semenanjung pada 2001 dan dia ketika itu berusia 14 tahun dan dirinya terpaksa menipu keluarga untuk mendapat kebenaran berlepas.
“Saya kata dapat kenaikan gaji dan perlukan tandatangan mereka. Mereka percaya kerana buta huruf,” katanya.
Bagaimanapun, apa yang menanti Malik tidak seperti apa dijanjikan di mana dia dipisahkan daripada rakan-rakan dan dipaksa bekerja sebagai tukang masak.

Upah penumbuk, sepak terajang
“Saya tak pandai masak. Cabut bulu ayam pun tidak reti. Tapi saya dipukul kalau lambat atau buat silap,” katanya yang masih terasa sakit bekerja sehingga 15 jam sehari tanpa dibayar gaji.
Majikan Malik bertindak memukulnya setiap kali dia bertanya mengenai gaji, malah dokumen pengenalan dirinya juga disimpan.
Selepas enam bulan menderita, Malik cuba melarikan diri tetapi ditangkap semula. Detik itu menjadi peristiwa hitam yang menyebaban dirinya bakal dipenjara.
“Berlaku pergelutan ketika cuba mempertahankan diri daripada dipukul. Saya bertindak balas dalam keadaan panik sehingga menyebabkan kematian.
“Saya bukan nak membunuh. Saya cuma nak hentikan dia daripada memukul saya dan insiden itu berlaku di luar perancangan saya,” katanya yang cuba melarikan diri namun ditahan di Lapangan Terbang Subang.
Dia dibicarakan dan dipenjarakan pada tahun sama mencuba nasib di Semenanjung. Malik menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) memandangkan dirinya masih bawah umur ketika kejadian.
“Kalau saya dewasa masa itu, hukumannya gantung. Tapi undang-undang tidak membenarkan hukuman itu kepada pesalah bawah umur,” katanya.
Dipenjarakan pada usia muda, Malik merasakan masa depan telah musnah sepenuhnya. “Saya rasa kosong, gelap. Tak fikir pasal masa depan, apatah lagi nak belajar.”
Keluarganya turut terkesan dengan ibunya hampir mengalami gangguan emosi apabila mengetahui Malik dipenjarakan manakala adik-beradik lain turut berdepan pandangan negatif masyarakat.
“Mereka orang kampung, tak ada pendidikan. Nak minta tolong siapa pun mereka tak tahu. Yang mereka dengar cuma cerita negatif,” kata anak keempat daripada enam adik-beradik.

Detik perubahan
Titik perubahan berlaku apabila Malik melihat beberapa banduan lain dibenarkan belajar secara persendirian. “Saya fikir, kalau mereka boleh belajar, kenapa saya tak boleh? Dari situ timbul semula harapan,” katanya.
Dengan bantuan pegawai penjara dan rakan banduan, Malik menduduki peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006. Beliau belajar sendiri dalam sel, meminjam buku dan belajar pada waktu malam dalam keadaan serba kekurangan.
“Kami belajar dalam sel. Bising. Tak ada kelas tetap. Tak ada cikgu. Buku pun pinjam kawan,” katanya yang kemudiannya menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum Open University Malaysia (OUM) menawarkan peluang melanjutkan pengajian peringkat ijazah kepada banduan.
Kekangan kewangan hampir menggagalkan impiannya, namun bantuan orang ramai dan derma siswa membolehkan beliau meneruskan pengajian.
Sokongan besar datang apabila pengasas Yayasan Chow Kit (YCK), Hartini Zainudin, tampil menaja sepenuhnya pengajian peringkat sarjana, sebelum OUM menawarkan tajaan hampir penuh bagi pengajian PhD.
“Sokongan itu buat saya rasa masih ada harapan. Bila orang percaya pada kita, kita rasa bertanggungjawab untuk buat yang terbaik,” katanya.
Malik akhirnya menamatkan pengajian PhD dalam pentadbiran perniagaan dan beberapa minggu selepas tesisnya diluluskan, insan itu menerima pengampunan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember 2024.
“Saya jaga tiga perkara sepanjang di penjara iaitu fizikal, mental dan spiritual. Kalau tidak jaga tiga ini, kita mudah hancur,” katanya.
Kini bebas selepas hampir 24 tahun dipenjarakan, Malik, 39, kembali ke kampung halaman dengan satu mesej jelas kepada masyarakat dan banduan.
“Kita mungkin pernah jatuh, tapi selagi bernyawa, peluang untuk berubah itu sentiasa ada,” katanya.
Malik mengusahakan pertanian cili fertigasi sambil menyediakan latihan dan peluang pekerjaan untuk bekas banduan menjadi usahawan selain merancang menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘PhD Dari Penjara’.
