
PETALING JAYA: Seorang lagi pemimpin Bersatu di Selangor menggesa Lembaga Disiplin menyiasat Timbalan Presiden Hamzah Zainudin yang berdiam diri dengan serangan terhadap kepimpinan parti.
Ketua Bersatu Kuala Selangor Harisson Hassan turut mendakwa ketua pembangkang itu dalang di sebalik siri tindakan terancang memperlekehkan Presiden Muhyiddin Yassin serta mencemarkan imej parti.
“Saya menuntut Lembaga Disiplin parti untuk segera membuka siasatan menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap Hamzah.
“Sekiranya dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti.
“Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” katanya yang juga ahli majlis pimpinan Tertinggi Bersatu.
Gesaan sama dibuat Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor Rafiq Abdullah yang mendakwa Hamzah menjadi punca utama kemelut dalaman parti itu.
Hamzah sebelum ini menafikan hubunganya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Namun, beliau terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin.
Ia termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah serta penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
