‘Jangan khianati undang-undang’, PM beri amaran peserta perhimpunan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim memberi amaran kepada peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram malam ini supaya tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

AMPANG JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram malam ini supaya tidak mencabar undang-undang atau mengganggu keselamatan awam.

Anwar menegaskan kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan, namun sebarang tindakan melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan berdepan tindakan tegas.

“Kita lebih bebas sekarang. Nak bagi pandangan boleh, nak kritik boleh. Tetapi kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum.

“Tangkap mereka dan humban mereka,” katanya berucap pada Konvensyen PKR Selangor sambil meminta peserta perhimpunan tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa.

“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis. Jangan cuba ambil alih tugas polis,” katanya yang turut menyeru semua pihak tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.

Anwar juga tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut undang-undang dan menegaskan peraturan itu terpakai kepada semua.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya hanya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di depan kompleks beli-belah Sogo

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan risikan keselamatan dan maklum balas pihak terbabit, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi tersebut.

Bagaimanapun, penceramah bebas kontroversi, Zamri Vinoth malam tadi berkata perhimpunan itu akan tetap diteruskan.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan polis akan bertemu penganjur untuk meminta mereka membatalkan perhimpunan itu, memandangkan Perdana Menteri India Narendra Modi mengadakan lawatan dua hari bermula hari ini.

KDN juga menggesa orang ramai termasuk pihak merancang bantahan berkaitan rumah ibadat haram, tidak meneruskan perhimpunan sepanjang lawatan rasmi perdana menteri India ke negara ini.

Author: admin