SPR digesa laksana segera kajian persempadanan, elak skor terus merosot

Bersih berkata jika persempadanan semula tidak dilakukan segera ia menjejaskan prinsip ‘one man, one vote, one value’ dan menyebabkan ketidakadilan kepada pengundi bandar khususnya orang muda.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa melaksanakan segera kajian persempadanan semula Parlimen bagi menangani ketidakseimbangan ketara jumlah pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar selaras prinsip ‘one man, one vote, one value’.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz, berkata kegagalan menangani isu itu akan memberi kesan langsung terhadap skor keseluruhan integriti pilihan raya Malaysia seperti dinilai Electoral Integrity Project (EIP) di peringkat antarabangsa yang dijangka terus merosot.

“Sebagai amaran awal, kita harus awasi dan sedar kesan langsungnya adalah skor keseluruhan seperti dikeluarkan EIP di peringkat antarabangsa akan berlaku penyusutan ketara.

“Dalam skor antarabangsa dikeluarkan EIP pada 2022, sempadan kawasan pilihan raya Malaysia tidak memuaskan iaitu 30.95%, walaupun aspek lain menunjukkan pencapaian baik seperti pendaftaran pengundi (automatik) 81.67%, proses pengundian 75.83%, pengiraan 80% dan legitimasi keputusan pilihan raya 77.5%,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau mengenai ketidakseimbangan saiz kawasan Parlimen yang mempunyai penduduk ramai.

Ganabatirau turut mengambil contoh Klang mempunyai lebih 200,000 pengundi berbanding kawasan lain yang jauh lebih kecil, dari sudut prinsip ‘one man, one vote, one value’.

Mengulas lanjut, Faisal berkata bilangan kerusi Parlimen tidak pernah ditambah sejak kajian persempadanan terakhir dijalankan pada 2002 walaupun negara mengalami pertambahan penduduk yang signifikan sejak lebih dua dekad lalu.

Katanya, persempadanan dilaksanakan pada 2018 pula lebih tertumpu kepada penyusunan semula garisan sempadan kawasan pilihan raya tanpa penambahan kerusi Parlimen baharu.

“Menurut Perkara 113 (2) (ii) Perlembagaan Persekutuan, kajian semula sempadan pilihan raya hanya boleh dibuat selepas tamat tempoh lapan tahun.

“Ini bermakna untuk kawasan Semenanjung, SPR sudah boleh memulakan kajian sempadan kawasan pilihan raya bermula 9 Mac tahun ini,” katanya.

Beliau memberikan contoh pada PRU15 di Selangor, Parlimen Bangi mempunyai 303,430 pengundi, berbanding Sabak Bernam yang hanya mencatatkan 51,609 pengundi.

“Merujuk Jadual 13, Bahagian 1, Perkara 2(c) Perlembagaan Persekutuan, bilangan pemilih dalam setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri sepatutnya hampir sama, kecuali dengan mengambil kira kesulitan kawasan luar bandar seperti faktor geografi dan kesukaran perhubungan.

“Melihat kepada pertambahan jumlah pengundi bandar dari tahun ke tahun, jurang perbezaan pengundi kawasan Parlimen antara bandar dan luar bandar ini akan semakin bertambah,” katanya.

Faisal berkata, jika persempadanan semula tidak dilakukan segera ia menjejaskan prinsip tersebut dan menyebabkan ketidakadilan kepada pengundi bandar khususnya orang muda.

Author: admin