
Demikian heboh di Amerika Syarikat dan seantero dunia, heboh sehebohnya sebaik sahaja sebahagian dari tiga juta halaman tambahan Fail Epstein didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ). Menerusi pendedahan itu kita juga tahu betapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebenarnya diidam-idamkan oleh ramai di AS sejak dua dekad lalu. Mujurlah ia hanya menjadi impian sahaja, bahkan perdana menteri turut menolak sebarang khabar angin, kemungkinan, atau apa sahaja fantasi mengenai hubungan beliau dengan penjenayah terkemuka di AS, Jeffrey Epstein.
Akan tetapi sebetulnya apakah Fail Epstein?
Begini, pendedahan besar-besaran fail berkaitan Epstein oleh DoJ sejak November 2025 telah mencipta sejarah moden, memandangkan ia salah satu pendedahan dokumen paling luas dalam sejarah AS. Pendedahan ini dibuat selaras dengan satu akta yang memerlukan Presiden Donald Trump bersikap telus mengenai musibat bernama Epstein ini. Tekanan itu relevan memandangkan Epstein dikatakan akrab dengan beliau.
Pada mulanya Trump menentang pelepasan fail ini, walaupun beliau akhirnya menandatangani undang-undang tersebut selepas tekanan dwipartisan di kongres. Harus difahami isu jenayah Epstein ini telah lama dieksploitasi dalam wacana politik AS, termasuk oleh sekutu Trump sendiri, yang mendakwa wujud perlindungan terhadap elit tertentu.
Maka pada November 2025, selepas mengalami macam-macam desakan, Trump terpaksa menandatangani lebih tiga juta halaman tambahan yang dinamai sebagai Fail Epstein untuk diterbitkan, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 3.5 juta halaman. Fail itu dihitamkan pada bahagian tertentu, khususnya pada wajah atau nama sebahagian yang dirasakan perlu. Bahan-bahan ini merangkumi lebih dua ribu video dan 180,000 imej yang dihimpun daripada pelbagai sumber termasuk kes jenayah Epstein dan Ghislaine Maxwell (teman wanitanya), kes siasatan kematian Epstein (beliau membunuh diri), serta pelbagai siasatan Federal Bureau of Investigation (FBI).
Suka tidak suka pendedahan Fail Epstein ini juga melorongkan semula perhatian pemerhati politik terhadap hubungan sosial Trump dengan Epstein pada 1990-an, termasuk bukti bergambar yang Trump pernah menaiki pesawat Epstein, menari, berpesta, meraba wanita dan ini semua bercanggah dengan kenyataan presiden AS, yang pernah diterima hangat di Malaysia tahun lalu.
Penyuntingan terhad yang mana video dan foto dihitamkan adalah untuk melindungi identiti mangsa dan keluarga mereka manakala nama dan foto individu terkenal serta ahli politik tidak dipadamkan. Di sinilah kegemparan yang amat sangat berlaku, meskipun DoJ juga memberi amaran bahawa sebahagian dari Fail Epstein ini mengandungi dakwaan palsu, sensasi, atau tidak disahkan, kononnya ini termasuklah juga dakwaan terhadap Trump yang dihantar kepada FBI menjelang pilihan raya presiden tahun 2020.
Sungguhpun demikian, tentu sahaja sukar untuk Trump mempertahankan dirinya, ini kerana namanya muncul lebih seribu kali dalam dokumen-dokumen tersebut, kebanyakan dalam bentuk soal jawab emel. Terdapat juga rujukan yang hanyalah berupa rencana, berita atau ulasan peribadi Epstein tentang sesuatu, sepertinya ulasan mengenai potensi Anwar untuk didekati.
Namun ada juga dakwaan serius yang tidak disahkan, termasuk nota FBI tentang tuduhan rogol terhadap Trump ketika penuduh masih di bawah umur, iaitu ketika berusia 13 tahun. Terdapat juga kenyataan mangsa Epstein yang mendakwa pernah diperkenalkan kepada Trump oleh Maxwell. Dalam semua kes ini, tiada bukti muktamad dikemukakan, dan Trump terus menafikan sebarang salah laku berkaitan Epstein.
Selain Trump, terdapat juga satu senarai dakwaan terhadap tokoh lain seperti bekas presiden AS dari Parti Demokrat, iaitu Bill Clinton, yang turut menafikannya. Selain Trump, dan Clinton, dokumen-dokumen dari Fail Epstein ini turut mendapat perhatian awam kerana rangkaian Epstein ikut melibatkan ahli politik, selebriti, ahli akademik dan ahli perniagaan, termasuk individu-individu dari Asia Barat yang muncul dalam laporan dan dakwaan berkaitan. Terdapat juga dakwaan dan spekulasi bahawa Epstein dan Maxwell mempunyai kaitan dengan perisikan Israel.
Perlu diingatkan, meskipun nama penjahanam-penjahanam dijejerkan, secara keseluruhan, pendedahan ini tidak dapat memberikan bukti muktamad yang ditunggu-tunggu oleh pembenci Trump, tetapi ia membawa kita kepada tiga perkara penting: pertama, skala dan kerumitan rangkaian Epstein yang nampaknya ada di seluruh pelusuk dunia; dan kedua, bagaimana dakwaan tidak disahkan, manipulasi politik, serta persepsi awam saling bertindih dalam sistem politik dan media Amerika, bahkan gegernya melibatkan seantero dunia.
Terakhir sekali, untuk kita semua renungkan adalah, satu yang amat pasti nama Vladimir Putin, Xi Jinping dan Ali Khamenei tiada dalam senarai Epstein.
Dalam dunia yang sukar untuk dibezakan mana yang benar dan mana yang salah, adalah selamat untuk berada dengan paksi penentang dan mengelakkan sama sekali paksi penjahanam pedofil. Ini juga menjadi ingatan kepada kaum liberalis dan aktivis hak asasi manusia kita di sini yang selalu terhegeh-hegeh melahap dana dan membela apa sahaja aksi empayar. Fail Epstein sepatutnya membuka mata semua pihak.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
