
Tirai 2026 dibuka dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa reformasi institusi penting yang bakal dibentang pada sesi Parlimen kali ini. Setakat artikel ini ditulis, pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri telah pun diluluskan oleh Kabinet, dan kerajaan bakal mengusulkan beberapa pindaan Perlembagaan di Parlimen dalam masa terdekat.
Saya sendiri kagum dengan betapa lajunya kerajaan bertindak untuk merealisasikan pengehadan tempoh jawatan PM, malah tempoh masa di antara pengumuman PMX dan kelulusan Kabinet hanya beberapa hari.
Jelas terbukti, jika arahan datang daripada perdana menteri sendiri, reformasi yang paling sukar sekalipun boleh dilaksanakan dengan segera.
Ada pihak mempersoal mengapa Rang Undang-Undang Pendanaan Politik tidak termasuk dalam pengumuman PMX. Usaha untuk mewujudkan Akta Pendanaan Politik sudah bermula 10 tahun yang lalu, sejak 2016 lagi.
Berdasarkan jangka masa yang diambil untuk mengehadkan tempoh masa PM, Akta Pendanaan Politik sepatutnya sudah pun diluluskan bertahun yang lalu. Namun begitu, sehingga kini kerajaan masih menjalankan kajian serta libat urus bersama pihak berkepentingan sebagai persediaan untuk membentang RUU ini di Parlimen kelak.
Ramai di kalangan aktivis dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang skeptikal, bahkan kecewa dengan kerajaan yang dilihat sengaja berlengah-lengah dan tidak mahu mengambil langkah berani untuk membentang RUU ini.
Sementara itu, perbicaraan kes 1MDB menghiasi muka depan akhbar dan menjadi bahan bualan dalam masyarakat, menekankan lagi kepentingan wujudnya Akta Pendanaan Politik supaya 1MDB tidak lagi berlaku pada masa hadapan.
Sebagai seorang bekas penyelidik yang pernah berada di barisan hadapan dalam usaha mendapatkan sokongan dwipartisan untuk Akta Pendanaan Politik, saya faham mengapa sesetengah ahli politik menentang penggubalan undang-undang tersebut.
Kewajipan semua parti mendedahkan sumber kewangan mereka secara telus adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah menjadi amalan di Malaysia sebelum ini. Wujud hubungan rapat di antara politik dan bisnes, Malaysia tidak terkecuali.
Budaya politik yang menelan kos tinggi menyebabkan ramai ahli politik dan penaja mereka tidak selesa dengan ketelusan yang dituntut oleh Akta Pendanaan Politik. Ada juga berpendapat bahawa ketelusan boleh mendatangkan risiko kepada penderma, terutama sekali apabila kepercayaan terhadap institusi kerajaan semakin terhakis.
Kerisauan ini boleh difahami, tetapi Akta Pendanaan Politik tetap harus diluluskan. Langkah pertama harus diambil, pada masa yang sama, sistem perlu ditambah baik secara menyeluruh supaya kelemahan yang wujud dapat diperkukuh.
Antara kandungan Akta Pendanaan Politik yang dipersetujui ramai pihak ialah larangan parti politik menerima dana daripada sumber luar negara. Pembaca tentu ingat kekecohan ketika pilihan raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2016 di mana campur tangan Rusia didakwa berlaku.
Di Malaysia pula, antara perkara yang paling diingati daripada perbicaraan kes 1MDB ialah wang RM2.6 bilion yang dikatakan hadiah daripada Putera Arab Saudi. Larangan terhadap parti politik menerima dana dari luar negara bertujuan untuk mengelak risiko keputusan pilihan raya dimanipulasi oleh negara luar untuk kepentingan mereka sendiri.
Sebagai contoh, presiden Negara X memberi wang kepada Parti Y untuk membiayai kempen pilihan raya mereka. Parti Y kemudian memenangi pilihan raya dan calon mereka, Calon Z menjadi perdana menteri. Sama ada Calon Z menjadi seorang perdana menteri yang bagus atau tidak bukan persoalan utama.
Pilihan raya ialah platform untuk penduduk sebuah negara menzahirkan hak memilih pemimpin mereka sendiri. Hak itu tidak patut dikompromi oleh mana-mana entiti yang tidak berhak membuat pilihan tersebut.
Bagaimana pula dengan dana dari luar negara yang disalurkan kepada entiti bukan politik seperti CSO? CSO di Malaysia merangkumi organisasi bukan kerajaan, contohnya kumpulan aktivis hak asasi manusia, kumpulan aktivis mahasiswa, badan pemikir bebas dan organisasi pendidikan akar umbi.
Lazimnya, CSO di Malaysia tidak memiliki endowment, berbeza dengan Barat di mana ramai individu kaya memberi puluhan juta dolar demi kepercayaan mereka terhadap sesuatu organisasi.
Di Malaysia, kebanyakan CSO perlu mencari wang sendiri dengan memohon geran daripada pelbagai sumber seperti yayasan tempatan dan antarabangsa, kedutaan, dan sektor korporat.
Sebahagian besar daripada sumber pendanaan CSO di Malaysia datang dari luar negara, sama ada melalui yayasan swasta atau dana yang dikhususkan oleh kerajaan mereka untuk pembangunan antarabangsa yang merangkumi sokongan untuk aktiviti masyarakat sivil tempatan.
Isu pendanaan CSO dari luar negara sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang menganggap bahawa CSO yang menerima dana dipengaruhi oleh “agenda” penderma, iaitu agenda Barat.
Agenda Barat pula dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif seperti penyebaran ideologi, pengaruh budaya yang bertentangan dengan adat masyarakat tempatan, dan dasar luar yang bertujuan mengukuhkan hegemoni mereka.
Sepanjang pengalaman sedekad saya dalam dunia CSO di Malaysia, berani saya katakan bahawa persepsi sebegini ada betulnya, tetapi setiap organisasi mempunyai pilihan untuk bersikap bebas dan tidak membenarkan mana-mana agenda mempengaruhi dapatan kajian atau pendirian organisasi dalam apa jua isu.
Sebuah organisasi yang mahu diambil serius harus kekal teguh kepada sejarah penubuhan, tujuan, visi dan misi masing-masing, bukan kepada agenda mana-mana pihak lain. Saya berserta rakan-rakan dalam CSO lain amat jelas dengan pendirian ini.
Soalan yang lebih mustahak dan kurang dibincangkan ialah – mengapa CSO di Malaysia terlalu bergantung kepada dana dari luar negara? Di mana penderma budiman dari dalam negara?
Sebenarnya, kerja yang digerakkan oleh CSO di Malaysia seperti penyelidikan dan advokasi tentang demokrasi, hak pengundi, reformasi institusi, hak golongan rentan, kelestarian alam dan banyak lagi, dibayar oleh penderma atau pembayar cukai di luar negara. Ini realiti yang perlu kita semua hadam.
Mereka yang faham peranan CSO dalam membangun negara dan mendidik masyarakat harus sedar bahawa keadaan dunia sekarang membuatkan ramai pemimpin negara maju mengurangkan perbelanjaan untuk pembangunan antarabangsa.
Ini bermakna, sumber kewangan kebanyakan CSO di Malaysia juga akan semakin mengecil. Sudah tiba masanya penderma tempatan mengambil alih peranan membina masyarakat sivil yang kukuh dan lestari. Usaha pengukuhan demokrasi terlalu berharga untuk dibiarkan terhenti akibat kekurangan dana semata-mata.
Aira Azhari ialah ketua pegawai eksekutif IDEAS.
Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian IDEAS Malaysia dan FMT.
