
PETALING JAYA: Kumpulan pelajar akan berarak dari Taman Tugu ke Parlimen pada 9 Feb bertujuan mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, yang lebih dikenali sebagai Auku.
Demonstrasi yang dijadualkan pada 9 pagi itu akan melibatkan lebih 30 kumpulan pelajar, termasuk Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM).
Kumpulan berkenaan membentuk satu sekretariat dinamakan ‘Mansuh Auku’ bagi menganjurkan protes aman itu.
Pada sidang media, Presiden Umany Tang Yi Ze menegaskan Auku menyekat kebebasan pelajar dan lebih mengutamakan kuasa institusi.
“Undang-undang tersebut menyekat kebebasan pelajar, melemahkan suara kritikal, dan memberikan kuasa berlebihan kepada menteri pendidikan tinggi. Universiti sepatutnya menjadi tempat pemikiran bebas, bukannya institusi dikawal demi kepentingan politik,” katanya.
Pemimpin pelajar berkenaan mengingatkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli, yang dulunya merupakan aktivis pelajar yang lantang menentang Auku, agar tidak meninggalkan perjuangan itu.
“Ia menjadi pengkhianatan besar jika mereka yang dulunya berjuang memansuhkan Auku kini membelakangi perjuangan berkenaan. Tuntutan kami mudah: mansuhkan Auku sekarang,” kata Ahsanul Akmal selaku timbalan presiden LMUM.
Beliau berkata, sekretariat tersebut akan terus menambah jumlah keahliannya, sambil membuka platform mereka kepada kumpulan masyarakat sivil dan NGO yang menyokong perjuangan mereka.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai rancangan memansuhkan Auku secara keseluruhannya, namun menegaskan akta itu telah dipinda sebanyak lapan kali bagi tujuan penambahbaikan selama ini.
Auku digubal pada April 1971 dengan sebahagiannya berada di bawah kuasa perundangan Kementerian Pendidikan Tinggi. Akta ini memperuntukkan penubuhan, penyelenggaraan, dan pentadbiran universiti serta kolej universiti awam.
Pada 1975, ia telah dipinda untuk memberikan kawalan penuh kepada kerajaan terhadap universiti, terutamanya dalam pelantikan naib canselor yang ditugaskan untuk melantik dekan, timbalan dekan, dan ketua institut, menggantikan sistem pilihan raya demokratik dalam kalangan ahli akademik.
