
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 8 Mei akan memutuskan sama ada membebas atau mensabitkan bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, isteri, dan bekas timbalan pengarah atas pertuduhan pengubahan wang.
Hakim Abu Bakar Manat menetapkan tarikh keputusan itu selepas pihak pembelaan menutup kes.
Tahir dan bekas timbalan pengarah, Lim Lam Beng memberikan keterangan bersumpah bersama 12 saksi lain, manakala isteri Tahir, Fauziah Piut, memilih memberikan kenyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh.
Antara saksi yang dipanggil termasuklah bekas ketua menteri, Joseph Pairin Kitingan dan bekas timbalan ketua menteri, Raymond Tan Shu Kiah.
Tahir dan tertuduh lain mengaku tidak bersalah pada 2019 terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang yang melibatkan RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah secara haram.
Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah 19 pertuduhan, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Pasangan berkenaan turut dituduh bersama bagi dua pertuduhan, sementara Tahir berdepan satu lagi pertuduhan tambahan.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan Tahir dan isteri di Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt dan 4 Nov pada 2016.
Lim, yang didakwa dengan empat pertuduhan, dituduh memiliki wang tunai RM2.38 juta antara 13 Okt dan 8 Nov pada 2016.
Ansari Abdullah mewakili Ag Tahir dan Fauziah, manakala Tan Hock Chuan bertindak bagi pihak Lim. Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah, Mahadi Abdul Jumaat, dan Zander Lim mewakili pihak pendakwaan.
