
PETALING JAYA: Malaysia memerlukan konfigurasi politik baharu yang lebih matang bagi memastikan pemulihan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.
Merujuk ucapan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada perbahasan Titah Diraja bulan lalu, Saifuddin berkata cadangan melakukan ‘reset politik’ dengan mencontohi pendekatan perdana menteri kedua Razak Hussein selepas tragedi 13 Mei 1969 wajar diberi perhatian serius.
“Dengan mencontohi pendekatan Razak, Hamzah menegaskan langkah itu bukan soal political survivalism, tetapi soal pembinaan bangsa.
“Beliau menyatakan dengan gagasan Konsensus Nasional Baru, ‘kita reset semula hala tuju negara. Negara ini boleh dipulihkan, ekonomi boleh dinyalakan semula, politik boleh dimatangkan dan rakyat boleh disatukan kembali dengan berpaksikan keadilan serta harapan baharu.
“Hamzah menyentuh perkara besar termasuk konfigurasi politik negara,” tulisnya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Menurut Saifuddin, Razak sebelum ini berjaya membentuk konfigurasi politik baharu melalui Barisan Nasional (BN) berasaskan konsep perkongsian kuasa elit antara kaum, yang memberikan kestabilan politik selama beberapa dekad kerana mencerminkan profil rakyat ketika itu.
Namun, katanya, landskap politik berubah selepas PRU14 apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih dengan pendekatan kurang elitis dan lebih berbilang kaum, tetapi kestabilannya dipersoalkan kerana sokongan kaum tidak seimbang dengan demografi rakyat.
“Kini kita mempunyai keadaan di mana pentadbiran PMX (Anwar Ibrahim) disokong minoriti lebih kecil daripada kaum majoriti dan majoriti lebih besar daripada kaum minoriti.
“Pembangkang disokong majoriti lebih besar daripada kaum majoriti dan minoriti lebih kecil daripada kaum minoriti. Ia semakin tidak mencerminkan profil rakyat,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menuntut penambahbaikan melalui pembentukan konfigurasi politik lebih baik serta mampan.
Beliau turut mencadangkan pendekatan sentripetalisme (proses pemusatan kekuatan) dalam politik baharu, yang berteraskan kerjasama rentas kaum sebenar, bersifat sederhana dan berpusat, serta berorientasikan dasar bukan personaliti.
“Politik stabil memerlukan kesepakatan besar antara majoriti kaum majoriti dan majoriti kaum minoriti, disokong pembetulan sistem, pengukuhan institusi, pembaharuan undang-undang dan perubahan budaya politik,” katanya.
