Bekas pengerusi syarikat mengaku tak salah perdaya projek RM2.5 juta

shah alam court
Zahri Ismail dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

SHAH ALAM: Seorang bekas pengerusi eksekutif sebuah syarikat berkait perlombongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdaya dalam urusan projek perlombongan membabitkan nilai RM2.5 juta, enam tahun lalu.

Zahri Ismail, 53, didakwa memperdaya subkontraktor Toh Chee Seng, 56, untuk mempercayai bahawa tertuduh akan memberikan projek perlombongan di Gua Musang, Kelantan, sehingga mendorong Toh memasukkan wang masing-masing berjumlah RM2 juta, RM250,000 dan RM250,000 ke tiga akaun bank didaftarkan atas nama tertuduh.

Zahri dituduh melakukan kesalahan itu di tiga bank di Kota Damansara, Petaling Jaya, antara Jun 2020 hingga 30 Jun 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atirah Mohd Azuarizanuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap tertuduh serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi yang mewakili tertuduh, memohon tiada jaminan dikenakan dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan jantung dan telah membayar jaminan RM50,000 dan RM20,000 bagi pertuduhan berkaitan masing-masing di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan dan Alor Setar, Kedah sebelum ini.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon selain menetapkan sebutan semula kes pada 1 Mac seperti diputuskan di Mahkamah Kota Bharu sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan Zahri didakwa atas 13 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM485,500 di Mahkamah Kota Bharu selain lima pertuduhan menipu berjumlah RM1.38 juta di Mahkamah Alor Setar.

Author: admin