Ahli Parlimen DAP tegur sikap berdiam diri kerajaan isu kempen bantah ‘kuil haram’

V Ganabatirau
V Ganabatirau berkata isu sukar perlu dihadapi dengan berani bukan dielak lebih-lebih lagi apabila melibatkan rumah ibadat dan hubungan antara kaum. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sikap berdiam diri kerajaan berhubung perhimpunan membantah rumah ibadat didakwa ‘haram’ memberi kesan buruk, apabila komuniti terbabbit mentafsirkan ketiadaan maklum balas sebagai tanda tidak peduli, kata Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau.

Beliau menggesa kerajaan tampil bersuara dan menjelaskan isu apa yang disifatkannya sebagai ‘kuil yang kononnya tidak berdaftar’, sambil menegaskan perkara itu jauh lebih kompleks daripada gambaran yang dibawa.

“Apabila menteri berdiam diri dalam isu yang memberi kesan mendalam kepada sesuatu komuniti, diam itu akan ditafsir sebagai sikap tidak peduli.

“Kerajaan mesti bersuara. Kerajaan mesti menjelaskan isu ini. Kerajaan juga perlu meyakinkan orang ramai, tanpa menyinggung sensitiviti agama, tetapi dengan tegas dan jelas,” katanya di Facebook.

Ganabatirau turut berkata kepimpinan di bawah kerangka Madani menuntut keberanian untuk berdepan isu sukar dengan empati dan kejelasan, bukan mengelaknya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan rumah ibadat dan hubungan antara kaum.

“Komuniti India tidak menuntut layanan istimewa. Apa yang diharapkan ialah keadilan, maruah dan pengiktirafan,” katanya.

Satu gabungan NGO yang diketuai pendakwah bebas, Zamri Vinoth, merancang mengadakan perhimpunan di luar pusat beli-belah Sogo pada malam Sabtu bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang didakwa “haram”.

Beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, mengesahkan penganjur telah memaklumkan kepada polis mengenai penganjuran acara itu, yang dilaporkan melibatkan kira-kira 141 NGO.

Ganabatirau memberi amaran sikap berdiam diri berpanjangan boleh membawa implikasi politik, sambil menegaskan rasa kecewa dalam kalangan komuniti terlibat tidak semestinya dizahirkan melalui protes, sebaliknya mungkin melalui penolakan di peti undi.

Isu sejarah dan pentadbiran

Beliau berkata banyak kuil Hindu di seluruh negara masih belum diwartakan sebagai rumah ibadat rasmi, sebahagian besarnya disebabkan masalah sejarah dan pentadbiran tanah yang belum diselesaikan.

“Banyak kuil ini dibina sejak beberapa dekad lalu, khususnya di kawasan estet semasa era penjajahan dan awal selepas merdeka. Status tanahnya masih tergantung dari segi undang-undang. Ini bukan perbuatan melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan terdapat kuil yang dibina di tepi jalan, berhampiran longkang atau di atas tanah rizab, dan isu ini memerlukan penyelesaian praktikal daripada kerajaan dan pihak berkuasa, “bukan kemarahan awam atau penguatkuasaan terpilih”.

“Kita tahu penyelesaiannya. Dengan kesungguhan politik dan tindakan pentadbiran yang tersusun, isu ini boleh diselesaikan secara menyeluruh dalam tempoh setahun,” katanya.

Author: admin