Biar Hamzah, Radzi kemudi Bersatu hadapi PRU16, kata ketua bahagian

muhyiddin yassin radzi jidin
Ketua Bersatu Kepong, Ahmad Nizar Sani berkata Muhyiddin Yassin gagal selesai kemelut dalam PN, dan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Radzi Jidin wajar pimpin parti menuju PRU16. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ketua bahagian Bersatu menggesa perubahan kepimpinan tertinggi parti, dengan menyatakan bahawa Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Radzi Jidin wajar memimpin parti itu menuju PRU16.

Ketua Bersatu Kepong Ahmad Nizar Sani berkata krisis kepimpinan yang berterusan dalam Perikatan Nasional (PN) perlu diselesaikan segera, dan Presiden Muhyiddin Yassin dilihat gagal bertindak menyelesaikan kemelut dalam gabungan tersebut.

“Jika presiden sudah tidak lagi mampu menyelesaikan kemelut ini, adalah lebih bertanggungjawab sekiranya kepimpinan diserahkan kepada mereka yang benar-benar berupaya.

“Demi kelangsungan parti dan keutuhan PN, saya yakin gandingan Hamzah dan Radzi adalah formula terbaik untuk menerajui Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kepimpinan dinamik kedua-dua pemimpin itu penting untuk memulihkan hubungan yang retak antara Bersatu dan PAS, memastikan PN kembali kukuh dan dihormati, serta menyusun strategi ampuh bagi mendepani PRU16.

Nizar juga berkata Bersatu tidak boleh terus terperangkap dalam nostalgia lama atau dikelilingi oleh penasihat yang hanya tahu melaga-lagakan pemimpin.

“Kita perlukan nakhoda baharu yang segar dan inklusif. Sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan parti dan negara di hadapan sebelum segala-galanya terlambat,” katanya.

Gesaan Nizar itu dibuat ketika pergolakan dalaman Bersatu makin memuncak, susulan kenyataan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz yang menolak gesaan supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden.

Tun Faisal sebaliknya mencadangkan Hamzah meletakkan jawatan susulan kegagalan parti dalam PRN Sabah pada 29 Nov lalu.

Ketua Bersatu Tangga Batu Ramlan Meon, sebagai reaksi, mempersoalkan sama ada Muhyiddin menyokong gesaan supaya Hamzah berundur.

Beliau mendakwa kenyataan Tun Faisal itu tidak mendapat kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan berisiko menyalahgambarkan pendirian parti.

Nizar turut menyuarakan kebimbangan terhadap provokasi dan serangan ke atas PAS oleh pihak tertentu dalam Bersatu.

“Perlu diingat, PAS adalah rakan komponen terbesar kita. Tindakan memecahbelahkan hubungan dalaman PN ini hanya akan melemahkan perjuangan kita dan memberi kelebihan kepada musuh politik.

“Selain itu, tindakan menggantung dan memecat ahli yang tidak sehaluan dengan kepimpinan adalah sangat tidak demokratik dan mesti dihentikan segera,” katanya.

Author: admin