
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dihadiri semua empat presiden parti komponennya dalam masa terdekat bagi membincangkan jawatan pengerusi baharu gabungan itu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata surat jemputan dihantar kepada semua presiden parti komponen dua hari lalu dan pihaknya sedang menyelaraskan jadual bagi memastikan kehadiran mereka.
“Saya telah menghubungi empat presiden parti anggota PN untuk menentukan satu tarikh semua mereka boleh hadir. Tiada kecuali. Setakat ini, belum mendapat satu tarikh yang dipersetujui semua.
“Seorang presiden menyatakan tidak awal daripada 19 hari bulan ini, yang lain belum bagi (tarikh) lagi,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen.
Beliau menjangkakan mesyuarat itu akan diadakan selepas 20 Feb ini.
Khamis lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan semua presiden parti komponen PN di kediamannya selepas mesyuarat MT gabungan itu yang dijadualkan pada malam sama dibatalkan.
Difahamkan, pertemuan itu ialah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum mesyuarat MT PN berlangsung.
Tetapi, Presiden PAS, Hadi Awang atau wakil parti itu dilaporkan tidak hadir.
Setiausaha Politik Hadi, Mohd Syahir Sulaiman dilaporkan berkata, perubahan saat akhir jadual Hadi menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri pertemuan antara ketua komponen PN di kediaman Muhyiddin.
Walaupun tidak hadir, katanya, pandangan Ahli Parlimen Marang itu sudah disampaikan secara bersurat.
Muhyiddin melepaskan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.
