Polis buru lelaki samun wanita di stesen minyak

 

Lakaran fotofit suspek yang diedarkan polis. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Polis giat memburu lelaki dipercayai cuba menyamun seorang wanita di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Ahad lalu.

Ketua Polis Brickfields, Hoo Chan Hook, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, wanita warga tempatan berusia 25 tahun pada 8.30 pagi.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira 7.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya sedang mengisi angin tayar kenderaan di stesen minyak berkenaan.

“Seorang lelaki menaiki motosikal dipercayai suspek menghampiri kenderaan mangsa dan cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg milik mangsa yang diletakkan di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dan rakannya segera menghalang tindakan suspek, sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan wanita itu ditumbuk di bahagian tangan dan kepala.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal dan gagal melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai,” katanya.

Hoo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa cubaan samun.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan risikan sedang giat dijalankan.

“Lakaran fotofit suspek telah disediakan dan usaha mengesan serta menangkapnya sedang dipergiatkan,” katanya.

Author: admin