
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memberi amaran sebarang langkah memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur berisiko mencetuskan kekeliruan institusi dan konflik perundangan sekiranya dilaksanakan tanpa kajian semula undang-undang dan perlembagaan sedia ada.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata Kuala Lumpur mempunyai struktur pentadbiran unik sebagai Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan, dengan kuasa pentadbiran terletak secara langsung di bawah kerajaan pusat, berbeza dengan pihak berkuasa tempatan lain yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula ditadbir di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang memperincikan kuasa, fungsi serta garis akauntibiliti dalam kerangka pentadbiran persekutuan, sekali gus mewujudkan cabaran besar sekiranya jawatan Datuk Bandar dipilih secara langsung tanpa pindaan undang-undang jelas.
“Tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan pilihan raya Datuk Bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang.
“Datuk Bandar yang memiliki keabsahan demokratik tanpa kuasa undang-undang yang ditetapkan secara jelas akan hanya melemahkan, bukan memperkuat kepimpinan dan governans yang berkesan.
“Justeru, apa-apa langkah ke arah pilihan raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh sebelum ini memaklumkan kementerian sedang mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar sebagai antara kaedah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DBKL.
Takiyuddin berkata PN turut menolak tanggapan pilihan raya automatik akan meningkatkan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan DBKL, sebaliknya memberi amaran terhadap risiko pempolitikan pentadbiran bandar raya dan populisme elektoral.
Menurutnya, sistem sedemikian boleh mencetuskan konflik antara Datuk Bandar yang dipilih dengan kerajaan persekutuan, selain mewujudkan ketidakstabilan dasar akibat keutamaan jangka pendek yang dipacu kitaran pilihan raya, berbanding perancangan bandar jangka panjang.
Beliau menegaskan kecekapan pentadbiran bandar raya lebih bergantung kepada kekuatan institusi, sistem tadbir urus dan budaya pengurusan, bukan semata-mata kaedah pemilihan kepimpinan.
Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan menumpukan kajian kepada pembaharuan struktur DBKL, termasuk isu kepimpinan, pengurusan sumber manusia, integriti, penguatkuasaan, koordinasi antara agensi serta kualiti dan ketekalan pembuatan keputusan.
“Tanpa menangani isu teras ini terlebih dahulu, cadangan pilihan raya Datuk Bandar hanya akan mewujudkan harapan palsu dan berpotensi melemahkan DBKL akibat salah fokus serta keutamaan,” katanya.
