Kes 117 ditahan di spa: Polis tunggu arahan AG

saifuddin nasution
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis tunggu arahan lanjut berhubung kes libat warga tempatan yang ditahan dalam serbuan spa, tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menunggu arahan lanjut daripada pejabat peguam negara (AG) berhubung kes melibatkan warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa di ibu negara tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan dirujuk ke pejabat AG pada 17 Dis tahun lepas untuk penelitian.

“Polis masih menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat AG,” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

Menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, berhubung langkah kerajaan seterusnya terhadap 171 warga tempatan yang ditahan dan kemudian dibebaskan.

Pada November tahun lalu, seramai 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.

Mereka berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut membabitkan polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada 30 Nov, polis memaklumkan 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di Chow Kit itu dibebaskan dengan jaminan, selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu ditolak majistret dengan alasan lewat dikemukakan.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan tangkapan ramai, dan proses pengkelasan dibuat satu persatu, lapor Berita Harian.

Pada Disember tahun lepas, Saifuddin mengumumkan sudah sampai masanya untuk kerajaan melihat semula beberapa peruntukan yang terkait bagi menangani kes-kes seperti ini.

Mengulas perkembangan lain, Saifuddin mengumumkan 477 mangsa diselamatkan pihak berkuasa dan 274 tangkapan dalam 145 kes pemerdagangan orang, pada tahun lalu.

Usaha bersepadu turut melumpuhkan tiga sindiket terancang dan menyelamatkan 55 orang mangsa, yang terlibat dalam eksploitasi buruh paksa, eksploitasi seks, serta penipuan tawaran pekerjaan.

Menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, berhubung pencapaian KDN dalam mematahkan sindiket pemerdagangan manusia.

Author: admin