Kenapa peruntukan jalan persekutuan untuk Sabah rendah, soal pembantu KM

Mazlan Joehari Manan
Mazlan Joehari Manan yang juga pembantu ketua menteri Sabah menggesa Putrajaya berlaku adil kepada jalan persekutuan di negeri itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pembantu Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mempersoalkan peruntukan Putrajaya bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di negeri itu tahun lalu, dan berkata jumlahnya jauh lebih rendah berbanding peruntukan kepada Johor.

Mazlan Joehari Manan mempersoalkan mengapa Sabah hanya diperuntukkan RM341 juta pada 2025 sedangkan Johor menerima RM424 juta, walaupun negeri di Borneo itu jauh lebih besar dan jalan persekutuannya memerlukan lebih banyak kerja pembaikan.

“Besar sangatkah Johor dan Perak ini dari Sabah dan dari segi penyelenggaraan pula, teruk sangatkah jalan di Johor dan Perak ini berbanding Sabah.

“Jangan pula timbalan menteri (Ahmad Maslan) mengalih perhatian kepada jalan-jalan di bawah selenggaraan kerajaan Sabah. Berlaku adillah kepada jalan-jalan persekutuan di Sabah ini,” katanya di Facebook.

Terdahulu hari ini, Ahmad berkata kerajaan memperuntukkan RM341 juta bagi penyelenggaraan jalan di Sabah, sambil menambah bahawa Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab ke atas jalan persekutuan dan lebuh raya.

Timbalan menteri daripada Umno itu juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa Sabah mempunyai jalan yang ‘panjang’ di bawah penyelenggaraan kerajaan negeri.

Ahmad menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan Kurniawan Naim Moktar, yang mengadu mengenai keadaan jalan di Sabah sehingga ada pengguna berseloroh ia seperti ‘berjalan di atas bulan’.

Ahli Parlimen yang baru dipilih itu turut berkata terdapat perbezaan ketara antara keadaan jalan di Semenanjung Malaysia dan di Sabah.

Author: admin