Ti gesa debat rasional isu pilihan raya datuk bandar KL

ti lian ker
Ti Lian Ker berkata, masyarakat yang matang perlu bersedia kaji reformasi secara teliti, bahas secara rasional dan laksanakan mekanisme perlindungan sekiranya perlu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker menyangkal dakwaan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi bahawa pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur akan dipengaruhi oleh dunia kongsi gelap.

Ti berkata, spekulasi sedemikian tidak seharusnya mendominasi wacana awam, menambah bahawa masyarakat yang matang perlu bersedia mengkaji reformasi secara teliti, membahaskannya secara rasional dan melaksanakan mekanisme perlindungan sekiranya perlu.

“Kuala Lumpur bukanlah sebuah bandar fiksyen yang tiada undang-undang, dan Malaysia juga bukanlah sebuah masyarakat yang tidak mampu mengekalkan ketenteraman serta tadbir urus,” kata bekas timbalan menteri perpaduan itu dalam kenyataan.

“Tanggapan bahawa pemilihan datuk bandar secara automatik akan mengundang huru-hara atau penguasaan jenayah memperkecilkan kewibawaan institusi kita dan kematangan masyarakat Malaysia.”

Ti berkata,walaupun kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah ahli politik mungkin datangnya daripada kegusaran yang sah, hujah tersebut tidak seharusnya digunakan untuk menghalang kemajuan demokrasi.

Katanya, cabaran melaksanakan pilihan raya datuk bandar harus ditangani melalui jaminan institusi yang teguh, kerangka undang-undang yang telus, dan langkah kawal selia yang proaktif, bukannya kerana takuti reformasi.

Puad semalam berkata, beliau bimbang isu keselamatan sekiranya Kuala Lumpur mengadakan pilihan raya datuk bandar.

Beliau menegaskan, Umno perlu menentang cadangan itu, sebagaimana parti itu menggagalkan rancangan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta desakan untuk mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

Mengingatkan bahawa terdapat banyak pusat hiburan, pusat urut dan pelbagai kegiatan ‘kurang sopan’ lain, Puad mempersoalkan sama ada penjenayah akan mempunyai pengaruh tidak wajar terhadap pilihan raya berkenaan.

“Bukan sahaja pilihan raya ini akan dipengaruhi oleh parti politik dan sentimen perkauman, malah ia juga berpotensi dimanipulasi oleh kartel dan geng.

“Bayangkan jika geng menggunakan dana dan rangkaian mereka untuk menyokong calon tertentu. Pejabat datuk bandar tidak lagi bebas,” katanya.

Beliau menggesa partinya menubuhkan sebuah sekretariat khas untuk mengemukakan respons balas terhadap cadangan pilihan raya datuk bandar di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh semalam berkata, pejabatnya sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Menurutnya, susun atur pentadbiran semasa sudahpun terlalu rumit, dengan ibu negara pada masa yang sama dipantau oleh datuk bandar, Ahli Parlimen dan para penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menyindir pengkritik, beliau kemudiannya bertanya mengapa sesetengah pihak ‘takut’ dengan kajian, sambil menegaskan data yang tepat dan fakta yang boleh dipercayai amat penting agar keputusan yang tepat dapat dibuat.

Author: admin