Saya tak bermaksud Sarawak mahu berpisah daripada Malaysia, kata Nanta

Alexander Nanta Linggi
Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata kenyataannya mengenai ‘berpisah’ bertujuan menggesa rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan secara harmoni. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alexander Nanta Linggi, menjelaskan kenyataannya dalam wawancara radio baru-baru ini tidak bermaksud Sarawak mahu berpisah daripada Malaysia.

Nanta yang juga menteri kerja raya berkata, kenyataan itu bertujuan menggesa rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.

“Saya tidak pernah maksudkan kita mahu ‘berpisah’ daripada Malaysia. Ia hanya satu ungkapan. Marilah kita hidup dalam keharmonian, keamanan,” katanya di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya.

Beliau berkata, kenyataannya diambil di luar konteks, sedangkan mesej sebenar supaya rakyat memfokuskan usaha menambah baik pengurusan ekonomi, bukannya meneruskan perbalahan politik.

Tegasnya, dalam wawancara itu beliau turut menyatakan dengan jelas beliau sayangkan Malaysia dan mahu melindungi negara ini, tetapi ada pihak hanya memilih untuk menumpukan sebahagian kenyataannya.

“Marilah kita fokus apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik cara kita menguruskan ekonomi supaya akhirnya rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih baik dan kita terus maju,” kata Ahli Parlimen Kapit itu.

Dalam wawancara dengan Radio BFM minggu lalu, Nanta menyentuh “pertelingkahan dan perbalahan politik berterusan” di Semenanjung Malaysia, dan bertanya sama ada Malaysia “ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara sejak awal lagi”.

Beliau turut dipetik sebagai berkata: “Jika kita terus berbalah dalam semua perkara, maka jangan salahkan kami, jangan salahkan orang Sarawak. Jika kamu tidak menyukai kami, lepaskan kami sahaja. Lupakan.”

Nanta berkata, sebagai cucu kepada pemimpin Sarawak, Jugah Barieng, seorang daripada individu menandatangani Perjanjian Malaysia 1963, beliau bertanggungjawab melindungi persekutuan itu.

Tetapi, tegasnya, Sarawak perlu dihormati dan difahami.

Kenyataannya mendapat kritikan beberapa pihak, dengan bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, penggunaan istilah “berpisah” dalam membincangkan kedudukan Sarawak di Malaysia “tidak perlu dan tidak membina”.

Tetapi, Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, berkata kenyataan Nanta hanya mencerminkan kekecewaan dirasai ramai rakyat Sarawak berhubung isu belum selesai di negeri Borneo itu.

Author: admin