
PETALING JAYA: Tiada arahan rasmi dikeluarkan PAS Selangor kepada ahlinya untuk menyertai perhimpunan mendesak tindakan diambil terhadap rumah ibadat dibina secara haram yang dianjurkan gabungan NGO pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar berkata beliau secara peribadi menyokong penganjuran perhimpunan itu dan menggesa isu rumah ibadat itu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
“Tiada arahan daripada PAS, namun kita tidak menghalang ahli untuk pergi, terpulang kepada diri masing-masing,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu gabungan NGO merancang mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Protes aman tersebut dijadual diadakan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur bermula 8 malam, melibatkan kira-kira 141 NGO.
Difahamkan bahawa satu notis telah diserahkan penganjur kepada polis Dang Wangi hari ini.
Sementara itu, Sukri berkata setakat ini beliau difahamkan tiada pimpinan utama PAS yang dijangka hadir ke perhimpunan itu.
Beliau menegaskan PAS telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan pendirian parti itu jelas bahawa isu itu bukan isu perkauman dan agama sebaliknya itu isu undang-undang dan mesti diselesaikan mengikut undang-undang.
Sukri turut memaklumkan beliau tidak dapat hadir ke himpunan tersebut kerana mempunyai program ceramah di Pulau Pinang pada Sabtu ini.
