Kelantan rampas wang cagaran penganjur konsert langgar garis panduan

konsert kelantan
Baru-baru ini, tular video menunjukkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat ketika menonton persembahan di program Makar Fest XL di Kota Bharu pada Sabtu lalu.

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan merampas cagaran RM8,000 penganjur Makar Fest XL selepas mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen serta garis panduan hiburan yang ditetapkan semasa program di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah dalam kenyataan berkata penganjur juga berdepan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta kemungkinan disenarai hitam sekiranya gagal membayar kompaun dikenakan.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 40 saat menunjukkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat ketika menonton persembahan pentas di program Makar Fest XL yang berlangsung di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Kota Bharu.

Hilmi Abdullah berkata insiden itu dikesan menerusi pemantauan penguat kuasa dan laporan rasmi selain rakaman video yang tular di media sosial.

Menurutnya, festival makanan dan jualan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Jan lalu telah mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.

“Sepanjang penganjuran, semua artis jemputan mematuhi enakmen dan garis panduan ditetapkan. Namun, pelanggaran berlaku semasa konsert penutup sekitar 10.30 malam melibatkan persembahan Kugiran Masdo,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata walaupun penguat kuasa telah mengeluarkan beberapa penonton yang melakukan provokasi dan melanggar garis panduan, keadaan tidak berjaya dikawal sepenuhnya dan kesalahan berulang.

Beliau berkata, penganjur didapati cuai atau gagal menghentikan persembahan bagi mengawal keadaan, selain berlaku percampuran lelaki dan wanita tanpa kawalan keselamatan mencukupi seperti disyaratkan dalam lesen.

“Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen,” katanya.

Dalam masa sama, Hilmi menegaskan kerajaan negeri memahami keperluan rakyat untuk berhibur dan menyokong penganjuran festival makanan yang mampu menjana pendapatan peniaga kecil serta mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan bertemakan ‘Food, Family, Festival’.

Katanya, namun, kerajaan negeri tetap konsisten memastikan adab, budaya dan akhlak, khususnya generasi muda, terus dipelihara.

“Sebarang penganjuran pada masa hadapan mesti mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Author: admin