
PETALING JAYA: Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin menjelaskan beliau sekadar berperanan sebagai orang tengah dalam pertemuan antara Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dengan Pengerusi Majlis Ulama Umno Dusuki Ahmad, baru-baru ini.
Beliau juga mengesahkan belum menyertai mana-mana parti selepas keluar PKR awal bulan ini, walaupun ada pihak cuba mengaitkan hala tuju politik susulan kehadirannya dalam pertemuan terbabit.
Wan Ji bagaimanapun mengakui rakan politiknya banyak daripada PAS, yang pernah disertainya sebelum menjadi ahli PKR pada 2015.
Bercakap kepada FMT, Wan Ji berkata, berdasarkan perbincangan yang diikutinya, beliau melihat kejujuran dalam kalangan pemimpin PAS dan Umno untuk menyatukan masyarakat Melayu Islam.
“Mereka secara dasarnya bersetuju perbalahan dulu semakin ‘tumpul’ dan hubungan akar umbi kedua-dua parti semakin baik.
“Sebarang pertembungan yang masih berlaku dianggap sebagai kesan lama yang sedang diperbaiki,” katanya.
Hashim dalam hantaran di Facebook semalam berkata, beliau berharap pertemuan dengan Dusuki membuka ruang kerjasama lebih besar antara dua parti itu, demi menjaga kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu.
Wan Ji yang sebelum ini pernah menjadi pembantu bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagaimanapun berpandangan, wujud kebimbangan dalam kalangan Umno dan PAS bahawa terdapat pihak tertentu mungkin cuba mengambil kesempatan atas niat baik itu.
Menurutnya, usaha penyatuan itu mungkin memerlukan kepimpinan Melayu yang lebih segar dan tidak dibebani sejarah konflik lampau bagi membina kepercayaan yang lebih kukuh antara semua pihak terlibat.
Sementara itu, Bendahari PAS Iskandar Samad berkata, sikap sesetengah pimpinan Umno yang merasakan diri mereka seperti ‘abang besar’ menjadi antara halangan kerjasama antara kedua-dua parti.
Katanya, golongan itu masih dibayangi zaman Umno memiliki lebih 90 kerusi, sedangkan hakikatnya sekarang, parti itu hanya ada kurang 30 kerusi.
“(Malah) PAS ada lebih banyak kerusi dari Umno. Jadi jika pimpinan Umno masih bersikap sedemikian, ia boleh menggagalkan kerjasama,” katanya.
Sebaliknya, katanya, ramai ahli Umno pada peringkat akar umbi lebih bersikap terbuka terhadap kerjasama dengan partinya.
“Sejak tertubuhnya Muafakat Nasional (MN) dalam 2019, hubungan ahli-ahli PAS dan Umno kekal baik sehingga hari ini.
“Hanya pimpinan tertinggi Umno yang perlu mengubah sikap,” katanya.
