
BEIJING: China melaksanakan hukuman mati terhadap empat ahli kumpulan jenayah yang dituduh menjalankan operasi penipuan dalam talian dari negara jiran, Myanmar, menurut mahkamah di bandar selatan Shenzhen pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Empat warga China terbabit dijatuhi hukuman pada November atas kesalahan membunuh dengan niat, penipuan telekomunikasi, dan dalam talian, penculikan serta pengedaran dadah, kata Mahkamah Menengah Rakyat Shenzhen dalam kenyataan.
Defendan kelima, yang juga telah dijatuhi hukuman mati, meninggal dunia akibat penyakit sebelum hukuman dapat dilaksanakan, menurut mahkamah itu lagi.
Rayuan difailkan oleh baki defendan ditolak pada Disember.
Pelaksanaan hukuman mati ini merupakan yang terbaru dalam siri hukuman mati yang dijalankan terhadap ahli kumpulan geng yang beroperasi dari Myanmar.
Sebuah mahkamah di bandar timur Wenzhou menghukum mati 11 individu minggu lalu dalam kes berkaitan.
Mahkamah menyatakan kumpulan tersebut telah menubuhkan kasino perjudian dan mengendalikan pusat penipuan di premis yang dibina di utara Myanmar.
Enam warga China terbunuh, manakala yang lain cedera di lokasi terbabit, menurut keputusan mahkamah.
Pihak berkuasa berkata, kumpulan itu menjana lebih daripada 29 bilion yuan (USD4.2 bilion) melalui perjudian dan penipuan.
Ketua kumpulan itu juga didapati bersalah atas penglibatan dalam pengeluaran dan pengedaran 11 tan methamphetamine.
Mahkamah menyatakan hukuman mati itu mencerminkan betapa seriusnya jenayah dilakukan.
Kes penipuan dan penculikan tersebut telah menarik perhatian meluas di China.
Di platform media sosial Weibo, ramai pengguna menyuarakan sokongan terhadap pelaksanaan hukuman mati itu.
Kebanyakan mangsa diperdaya ke luar negara dan ditahan secara paksa untuk mengendalikan sindiket penipuan telekomunikasi di premis yang dikenali sebagai pusat penipuan.
