
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menyeru semua pihak, termasuk rakan komponen Perikatan Nasional (PN), agar melaksanakan ‘gencatan senjata’, menghentikan serangan terbuka antara satu sama lain.
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Syahir Sulaiman berkata, segala kemelut PN, termasuk isu pelantikan pengerusi, perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk diselesaikan secara dalaman.
“Ada baiknya kita pada peringkat ‘operator’ ini bersetuju (laksana) gencatan senjata … Serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mesyuarat ‘full-council’ segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegur tingkah laku Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz dan bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad yang menurutnya, berterusan membuat kenyataan terbuka.
“Mengapa perlu menulis hal ‘sulit’ secara terbuka? Ikutkan hati, mahu sahaja saya membalas, namun saya memilih untuk menahan diri,” katanya.
“Atas rasa hormat kepada kekanda Marzuki dan Tun Faisal, permintaan saya, cukup-cukuplah menulis. Hari ini 1 Feb. Sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, 1 Jan.
“Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga resah menunggu. Kami (PAS) hanya mahu teruskan perjalanan,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya pemimpin Bersatu merasakan Muhyiddin masih sah sebagai pengerusi PN, mesyuarat harus segera dipanggil.
Syahir turut memaklumkan, antara resolusi pemukiman PAS secara tertutup selama tiga hari yang berakhir hari ini termasuk meminta semua pihak dalam PN berhenti membuat kenyataan terbuka di media, sebaliknya kembali ke meja rundingan.
Kemelut dalaman PN memuncak apabila pimpinan Bersatu dan PAS saling berbalas kritikan secara terbuka susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Terbaru, Marzuki mendakwa serangan konsisten dari dalam dan luar parti, serta parti komponen PN termasuk PAS, terhadap presiden Bersatu itu bertujuan memaksa beliau berundur.
Menurutnya, ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek ‘Muhyiddin Exit’ berjaya.
Tuduhan ini bagaimanapun dinafikan pemimpin PAS termasuk Presiden Hadi Awang, yang menegaskan partinya mahu PN terus diperkukuh.
