
PETALING JAYA: Seorang penganalisis menjangkakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan kekal menerajui parti itu, meskipun beliau menolak kemungkinan menjadi pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu atas faktor usia dan kesihatan.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata bagi ahli PAS, jawatan pengerusi PN dan presiden parti adalah dua jawatan berbeza serta tidak saling berkait.
Menurutnya, jawatan pengerusi PN mempunyai tanggungjawab tersendiri, termasuk menyelaras dan memimpin gabungan pembangkang berteras Melayu-Islam itu, yang turut merangkumi Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Ia akan menjadi sukar bagi Hadi, yang berada dalam keadaan fizikal lemah, untuk bertemu penyokong PN dan mengetuai jentera kempen sekiranya pilihan raya diadakan,” katanya kepada FMT.
“Namun, Hadi juga tidak akan meletakkan jawatan sebagai presiden kerana dalam PAS, presiden memegang jawatan seumur hidup.”
Susulan keputusan Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan, Hadi berkata partinya akan mengambil alih kepimpinan gabungan itu.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada beliau bersedia memegang jawatan pengerusi PN, Hadi yang berusia 78 tahun, menegaskan faktor usia lanjut sebagai alasan.
Alasan yang diberikan Hadi itu, menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, telah menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai sama ada Ahli Parlimen Marang itu masih mampu memimpin PAS.
Namun, Mazlan berkata Hadi kekal sebagai tokoh paling berpengaruh dalam PAS dan masih menguasai parti dengan kukuh.
Bagaimanapun, katanya, keputusan PAS untuk mencalonkan pemimpin selain presidennya bagi jawatan tersebut mendedahkan ‘kelompongan kepimpinan’ dalam parti itu.
“Menamakan pemimpin PAS selain presiden hanya akan menyebabkan parti itu kehilangan penghormatan dalam kalangan rakan gabungan,” katanya.
Ketika dihubungi, Azmi berkata beliau berpandangan PAS sedang cuba menyusun semula gabungan itu bagi menyesuaikan kedudukan Hadi, memandangkan parti tersebut masih belum memutuskan calon untuk menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN.
“Namun, ia hanya menunjukkan bahawa PAS tidak mempunyai pemimpin yang mampu memimpin di luar kerangka parti,” katanya sambil menambah tanggapan sedemikian adalah ‘memudaratkan’.
