Kementerian Pertahanan tambah baik teknologi digital, AI tangani rasuah

khaled nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata penambahbaikan itu akan dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem dan proses dalam ATM serta kementerian, selain melibatkan anggota dan pegawai. (Gambar Facebook)

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan akan memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai langkah pencegahan dan penambahbaikan bagi menangani isu rasuah serta salah guna kuasa.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata penambahbaikan itu akan dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem dan proses dalam ATM serta kementerian, selain melibatkan anggota dan pegawai.

“Sistem dan proses akan diperbaiki melalui pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan, penerapan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta penubuhan unit khas bagi menangani aduan.

“Sistem dan proses ini perlu diperbaiki supaya lebih telus, berintegriti dan sukar dimanipulasi,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani-Mindef di Pantai Teluk Mahkota, Tanjung Sedili.

Khaled berkata melalui pendigitalan, pihaknya dapat mengesan perolehan yang dibuat di pelbagai peringkat, termasuk mengenal pasti sama ada sesuatu perolehan dimenangi atau diberikan berulang kali kepada syarikat sama.

Beliau berkata melalui AI, kementerian boleh menilai sama ada sesuatu barangan itu sesuai atau tidak, harga perolehannya berbanding yang dibuat oleh negara lain serta mengesan kecenderungan sikap individu yang diberi tanggungjawab dalam jawatan berkaitan perolehan.

Author: admin