
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memfokuskan usaha membantu dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira soal tarikh PRN Sarawak seterusnya akan diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Ketua whip GPS berkata, gabungan itu tidak bekerja semata-mata ketika menghadapi pilihan raya, sebaliknya berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa.
“Kita lihat pilihan raya itu satu cara kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menilai tahap kerja kita selama ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina kepada warga emas dan orang kurang upaya di sini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini yang dilaporkan berkata Sarawak dijangka mengadakan PRN tahun ini.
Fadillah berkata, PRN Sarawak boleh diadakan bila-bila masa, termasuk tahun ini kerana tempoh Dewan Undangan Negeri akan berakhir Februari 2027.
PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Dis 2021.
