
PETALING JAYA: DAP tidak pernah memberikan sebarang mandat atau kuasa kepada mana-mana individu untuk mewakili parti dalam mengadakan perbincangan politik, rundingan kerjasama, atau hubungan dengan Bersatu serta pemimpinnya.
Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong, berkata sebarang tindakan oleh mana-mana pihak yang mendakwa mewakili DAP untuk berhubung dengan Bersatu adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan keputusan rasmi parti.
“DAP sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang berlandaskan nilai integriti dan maruah dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat Melayu dan tidak akan bergantung kepada strategi memancing atau memujuk ahli parti lain untuk melompat parti.
“DAP komited meraih kepercayaan dan pengiktirafan rakyat melalui prestasi kerja, perkhidmatan kepada rakyat yang berkesan, serta prinsip perjuangan politik yang konsisten dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan, menjawab desas-desus ahli Bersatu berhasrat menyertai DAP.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, DAP akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu hari ini, media melaporkan seorang pemimpin Melayu akar umbi DAP mendakwa terdapat beberapa pimpinan Bersatu Selangor yang datang berjumpa beliau bagi menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu.
Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai, Kepong, Muhammad Najmi Samsudin, berkata beliau mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam DAP asalkan ikhlas untuk bersama parti tersebut.
Dalam menyokong hasrat pimpinan Bersatu itu, Najmi berkata beliau akan menguruskan kemasukan besar-besaran pimpinan dan akar umbi Bersatu Selangor ke dalam DAP dalam masa terdekat.
